May 26, 2016

Remaja maut kereta dirempuh bas

Perodua Kancil yang dinaiki mangsa remuk selepas dirempuh bas ekpres dalam kemalangan malam kelmarin

HAMIZAH BASIR

JEMPOL - Seorang lelaki maut dirempuh sebuah bas ekpres di Kilometer 35 Jalan Bahau – Keratong, berhampiran simpang Palong 16, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 malam itu, mangsa pemandu kereta jenis Perodua Kancil, Muhammad Aizat Mohd Zamri, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang memandu sendirian itu dalam perjalanan dari Keratong ke Bahau.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas ekpres hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa.

“Mangsa yang berasal dari Senawang itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya.

Beliau berkata, bas ekpres membawa lapan penumpang itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Mersing.

“Pemandu dan semua penumpang selamat dan tidak mengalami kecederaan. Ketika kejadian, semua penumpang sedang tidur.

“Kita bagaimanapun menahan pemandu bas lelaki berusia 57 tahun untuk ambil keterangan dan ujian air kencing,” katanya di sini, semalam.

Noorzainy berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2016


Remaja maut tersepit

Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my

Jempol: Remaja maut apabila kereta dipandu bertembung bas ekspres di Kilometer 35 Jalan Bahau-Keratong, berhampiran FELDA Palong 19 di sini, malam tadi.

Mangsa, Muhammad Aizat Mohd Zambri, 19, dari Taman Desa Melor, Senawang, Seremban, yang juga penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 11.50 malam itu, bas ekspres dari arah Kuala Lumpur ke Mersing dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung denga kereta dipandu mangsa.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa tersepit dan dikeluarkan pasukan bomba sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat.

"Pemandu bas dan lapan penumpang tidak mengalami kecederaan. Hasil pemeriksaan, pemandu berusia 57 tahun tidak mempunyai rekod lampau tetapi dia ditahan untuk ujian air kencing dan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi.

myMetro 25 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment