May 13, 2016

Raungan jatuh hukum

Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua beradik lelaki masing-masing dipenjara 25 tahun manakala dua rakan mereka dipenjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan mempromosikan perbuatan keganasan, April tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 25 tahun terhadap dua beradik yang bekerja sebagai pekerja di kedai baju, Mohd Anwar Azmi, 34, dan adiknya Mohd Nurakmal, 31, manakala penjara 20 tahun ke atas peniaga air, Izwan Shameer Suzaimi, 26, pekerja kedai tayar dan Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 23.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 25 April tahun lalu.

Dalam prosiding itu juga, seorang remaja yang ketika kejadian berusia 17 tahun turut didapati bersalah atas pertuduhan sama, namun hukuman terhadapnya ditangguhkan pada 27 Mei ini bagi menunggu laporan akhlak.

Selepas prosiding tamat, suasana mahkamah menjadi pilu apabila keluarga mangsa, terutama isteri kedua-dua beradik yang masing-masing membawa dua anak itu meraung berhampiran kandang tertuduh.

Nordin dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman kepada semua tertuduh disebabkan mahkamah bertanggungjawab kepada masyarakat.

“Hukuman yang bakal diberikan ini mestilah sesuatu yang boleh menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tidak terbabit dalam kesalahan seperti ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Naizatul Zamrina Karizaman yang mewakili Mohd Anwar dan Mohd Nurakmal memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan kedua-dua anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga selain perlu menyara isteri dan dua anak mereka.

Selain itu, peguam Faizal Rahman yang mewakili Izwan Shameer dalam mitigasinya memohon mahkamah meringankan hukuman anak guamnya kerana keluarganya percaya dia berada bersama orang yang salah pada masa dan tempat yang salah.

Manakala, peguam Wong Kar Fai pula memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap Muhammad Luqman Hakim disebabkan ayahnya yang sudah lanjut usia terpaksa bekerja semula sebagai kontraktor mengubahsuai rumah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah memberikan hukuman yang boleh memberikan mesej kepada orang ramai kerana kesalahan dilakukan semua tertuduh adalah serius.

Pada 20 Mei tahun lalu, mereka didakwa di Mahkamah Kajang atas tuduhan bersetuju antara satu sama lain bagi mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini untuk melakukan huru-hara dengan mengebom kawasan hiburan di situ yang juga kesalahan mengikut Seksyen 130G, Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 2, Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat, Selangor antara jam 7 petang, 24 April 2015 dan 1 pagi keesokannya mengikut Seksyen 120B(1), Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

myMetro 13 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment