May 26, 2016

Percutian digegar badai

ANGGOTA bomba giat menjalankan operasi mengalihkan pokok yang tumbang sehingga menghalang lalu lintas di Jalan Arumugam Pillai, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar

Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

Prai: Beberapa penghuni hotel di Tanjung Tokong, dekat sini berdepan detik cemas selepas siling bilik mereka dimasuki air susulan ribut tengah malam tadi.

Suami isteri dari Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata, mereka berdepan detik cemas selepas angin kencang menolak pintu kaca bilik serta hampir menerbangkan kerusi di luar bilik.

"Dua anak kami yang nyenyak tidur terjaga sejurus terdengar bunyi deruan angin yang kuat sebelum terpaksa ditenteramkan kami," kata mereka.

Mereka yang datang bercuti dan menginap di hotel di kawasan pesisir pantai di situ terpaksa melaluinya lebih sejam sebelum keadaan beransur pulih.

Sementara itu dalam kejadian ribut tengah malam tadi, angin kencang menumbangkan beberapa pokok di Bayan Lepas, Mak Mandin, Permatang Rawa, Butterworth dan Jawi.

Pihak berkuasa juga menerima laporan banjir kilat di Jalan Baru, Bukit Mertajam sehingga menyebabkan beberapa kenderaan rosak selain terdapat pemandu terbabas ke dalam parit selepas jarak pemandangan terlalu kabur.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, semua pokok tumbang berjaya dialihkan sebelum jam 4 pagi tadi, dan banjir kilat surut dalam tempoh dua jam.

Katanya, tiada kejadian tidak diingini berlaku dan semua jalan terjejas dibuka kembali kepada orang ramai sebaik kerja pembersihan selesai.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang di beberapa kawasan bermula malam tadi sehingga awal pagi ini.

Kawasan berkenaan ialah di Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Yan, Pendang dan Kuala Muda), P. Pinang dan Sarawak , Bahagian Sri Aman (Daerah Sri Aman), Samarahan dan Kuching (Daerah Kuching dan Bau).

myMetro 26 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment