May 25, 2016

Penumpang maut, pemandu cedera


Sebuah kereta melanggar tembok di Jalan Raub dan mengakibatkan penumpangnya, awal pagi semalam

AIMAN SADIQ ABDULLAH

RAUB - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan dinaiki melanggar tembok di Kilometer 1, Jalan Raub dekat Kampung Pintu Padang, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Tong Fook Ting, 49, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Menurutnya, ketika kejadian pada jam 2.30 pagi itu, kereta jenis Perodua Myvi dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari arah Raub menghala Sungai Ruan dipercayai hilang kawalan dan melanggar tembok simen sebelum terbabas.

“Kami dapati, pemandu dan penumpang Perodua Myvi tersebut tidak memakai tali pinggang keselamatan yang mengakibatkan penumpang hadapan cedera parah, manakala pemandunya hanya cedera ringan. Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk mendapatkan rawatan.

“Pihak hospital bagaimanapun mengesahkan penumpang kenderaan terbabit meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Raub pada jam 6.25 pagi tadi (semalam),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Wan Zahari berkata, mayat Fook Ting dihantar ke Unit Forensik Hospital Raub untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian
24 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment