May 21, 2016

Pelajar terpaksa tidur atas lantai

Sebahagian pelajar yang terpaksa tidur atas lantai.

Ahmad Shahabuddin dan Adam Abdullah menunjukkan bahagian tangga kecemasan yang ingin dibina.

Ahmad Shahabuddin (kanan) dan Abdullah Adam menunjukkan kawasan yang ingin didirikan tadika.

KUALA KETIL - Sekolah Rendah Islam Raudhatul Muslimin dari Perkampungan Islam Sungai Kembal, di sini, memerlukan sumbangan dana bernilai RM 235,000 bagi membina infrastruktur bagi keselesaan para pelajarnya.

Difahamkan, sekolah yang didirikan sejak 1987 itu menempatkan pelajar berusia 5 hingga 12 tahun menghadapi kekangan dana bagi menyediakan kemudahan buat para pelajarnya yang sentiasa bertambah.

Pengerusi Lembaga Sekolah, Ahmad Shahabuddin Ibrahim berkata,sebahagian daripada jumlah dana itu diperlukan bagi membina asrama dua tingkat dengan anggaran kos bernilai RM 85,000.

Menurutnya, bangunan asrama itu begitu diperlukan memandangkan para pelajarnya yang menghuni di asrama terpaksa menetap di kelas yang dijadikan bilik asrama sementara.

“Bangunan asrama yang asal terpaksa dijadikan kantin  memandangkan kantin sedia ada sebelum ini tidak cukup menampung bilangan pelajar seramai 352 orang di sekolah ini.

“Jadi buat sementara ini kami terpaksa menjadikan kelas sebagai penginapan pelajar, keseluruhan pelajar lelaki dan perempuan yang menetap di asrama ialah seramai 80 orang, selebihnya tinggal di rumah,”katanya.

Katanya, ketiadaan asrama bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah menyebabkan pihak sekolah terpaksa menolak permintaan ibu bapa untuk menghantar anak terutamanya dari luar negeri Kedah.

“Malah kerana masalah ini, kami pihak sekolah terpaksa mengambil pelajar yang tinggal jauh menggunakan van yang disewa, setakat ini jarak paling jauh adalah 15 kilometer ,”katanya.

Ahmad Shahabuddin berkata, akibat kekangan dana, pihaknya juga tidak mampu menyediakan katil dan tilam untuk para pelajarnya.

“Para pelajar di sini terpaksa berlapikkan lantai untuk tidur sejak asrama dibina pada 2006, kami nak beli katil memang tidak mampu.

“Jika mampu beli sekalipun hanyalah katil yang tidak berkualiti, tetapi kami tidak sanggup membelinya kerana bimbangkan akan mendatangkan bahaya kepada pelajar,”katanya.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar kelas yang dijadikan asrama mendapati para pelajar terpaksa beralaskan lantai untuk tidur kerana ketiadaan katil dan tilam.

Selain itu katanya, pihak sekolah juga memerlukan dana bernilai RM 100,000 bagi membina tangga kecemasan.

“Bangunan asal sekolah tiada tangga kecemasan, pihak bomba sudah memberi peringatan kepada sekolah agar membina tangga berkenaan, namun kami tidak mampu membinanya kerana masalah kewangan, setakat ini kami hanya bergantung kepada pemadam api jika berlakunya sebarang kecemasan.

“Jika ada sumber dana daripada mana-mana pihak, dengan Izin ALLAH S.W.T pihak sekolah akan menyiapkannya pada bila-bila masa,”katanya.

Tambahnya, sebahagian daripada jumlah RM 100,000 itu juga akan digunakan bagi menyediakan dewan sekolah bagi aktiviti pelajar dan guru.

“Setakat ini kami terpaksa mengadakan aktiviti pelajar di masjid dan kelas yang dijadikan dewan sementara, adakalanya kami perlu memasang khemah bagi mengadakan aktiviti sekolah,”katanya.

Ahmad Shahabuddin berkata, baki yang diperlukan adalah berjumlah RM 50,000 bagi membina tadika kepada pelajar pra sekolah yang turut ditempatkan di sekolah berkenaan.

Menurutnya, buat sementara waktu, sebahagian daripada bangunan kantin sekolah dikorbankan bagi menempatkan para pelajar berusia lima tahun untuk meneruskan pengajian.

“Bilangan pelajar tadika di sini lebih daripada 30 pelajar, dana bernilai RM 50,000 itu mencukupi untuk membina bangunan baru kepada mereka,”katanya.

Lebih membebankan,sekolah yang hanya bergantung sepenuhnya kepada yuran persekolahan pelajar juga terpaksa meminjam wang daripada pihak tertentu bagi membiayai kos operasi sekolah dan bayaran gaji guru dan kakitangan seramai 35 orang.

Ahmad Shahabuddin berkata, jumlah keseluruhan yang ditanggung bagi kos operasi dan bayaran gaji setiap bulan adalah sebanyak RM 25,000.

“Beginilah keadaan kami dari dahulu, pihak sekolah tidak menekan waris untuk membayar yuran kerana kebanyakan mereka kurang berkemampuan.

“Yuran sekolah bagi seorang pelajar adalah sebanyak RM30 tidak termasuk yuran asrama,”katanya.

Bagi pelajarnya, Muhammad Siddiq Hakimi Abdul Halim,12,dari Acheh,dia sudah terbiasa dengan prasarana yang serba kekurangan di sekolah berkenaan.

“Saya sudah biasa tidur atas lantai di sini,makan minum semua cukup,seronok belajar di sini.

“Tetapi harapnya,pihak sekolah dapat menyediakan katil,tilam dan lain-lain bagi keselesaan saya dan kawan-kawan,”katanya.

Sementara itu, Setiausaha Lembaga Tadbir, Adam Abdullah berharap,mana-mana badan korporat, swasta menyumbang dana bagi membantu pihak sekolah menyediakan kemudahan kepada penuntut.

Bagi mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam di nombor akaun 020-480-200-3036-1 atau hubungi Ahmad Shahabuddin di talian 013-4400403

Sinar Harian 13 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment