May 21, 2016

OKU hilang sejak Jumaat lalu ditemui selamat

Mohd Taha Yaacob

BESUT - Seorang wanita OKU, Nurul Khalbi Mahasan, 30, yang disedari hilang ketika berada di rumah keluarganya sejak pagi Jumaat lalu, ditemui dalam keadaan selamat, petang semalam.

Bapanya, Mahasan Mamat, 57, berkata, anaknya yang memegang kad OKU kerana masalah mental, disedari keluar rumah kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, dia bersama isteri yang ketika itu berada di dalam rumah, mendapati Nurul Khalbi keluar melalui pintu hadapan dalam keadaan berkaki ayam.

“Dia dipercayai berjalan kaki melalui kawasan semak di belakang rumah, merayau dan bersembunyi di sekitar kampung tersebut termasuk kampung berhampiran.

“Saya dan keluarga cuba cari selepas dia keluar rumah, tapi gagal, sebelum gerakan besar-besaran membabitkan penduduk kampung dilakukan pada hari pertama,” kata bekas guru itu.

Bagaimanapun, kata Mahasan, usaha mencari berlarutan sehingga awal pagi keesokan hari, tidak menemui anaknya itu walaupun ada pihak mendakwa terserempak dengan mangsa di beberapa kawasan pada petang hari kejadian.

Menurutnya lagi, anaknya dipercayai bersembunyi apabila melihat orang ramai menyebabkan usaha mengesan berdepan kesukaran.

“Gerakan mencari disambung (semalam). Alhamdulillah, dia ditemui selamat di kawasan perumahan Kenjing, kira-kira 500 meter dari rumah saya. Sebelum itu (kira-kira jam 11 pagi), ada penduduk berhampiran beritahu Nurul Khalbi datang ke rumahnya meminta air.

“Sebab itu usaha mencari tertumpu di kawasan tersebut. Dia keluar selepas melihat hanya adiknya seorang berada di situ, sebelum dipujuk dan dibawa pulang ke rumah kira-kira jam 1.06 petang,” katanya.

Mahasan memberitahu, anaknya ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan, bagaimanapun dalam keadaan lemah dan lapar setelah lebih 24 jam tidak makan.

Katanya, anak perempuannya itu dilahirkan normal, tetapi mula menghadapi masalah kesihatan sejak berusia 14 tahun apabila keluarga dikejutkan dengan keadaannya yang tidur selama 2 tahun bermula pada usia tersebut.

“Masalah mental dialaminya bukan selalu, tetapi kadang-kadang sahaja. Pada keadaan biasa, dia seperti orang normal,” katanya.

Dalam pada itu, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari anaknya termasuk Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada malam kelmarin sehingga ke awal pagi.

Sinar Harian 15 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment