May 21, 2016

Masa kian suntuk...

ZURAITUN bersama anaknya Muhammad Syaufi (kanan) dan Muhammad Syauki menjaga anak bongsunya, Muhammad Syaffiq Zafran.

Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Kota Tinggi: “Ambillah hati kami, apapun risiko saya dan suami tidak kisah asalkan anak bongsu kami sembuh dan dapat membesar sebagai kanak-kanak yang sihat,” kata Zuraitun Zakaria, 35, dari FELDA Semenchu, ibu kepada Muhammad Syaffiq Zafran Mohd Saharuddin berusia empat bulan yang menderita kegagalan hati berfungsi (Atresia bilier).

Menurut Zuraitun, dia dan suami Mohd Saharuddin Mohd Mustafa, 39, rela mendermakan sebahagian hati kepada bayinya yang perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di luar negara.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak mampu menyediakan sumber kewangan mencukupi bagi menampung kos pembedahan berjumlah RM160,000 di Hospital Renjin, Shanghai, China.

Menurutnya, mereka bimbang dengan keadaan anak bongsu daripada lima beradik itu yang semakin teruk termasuk sering mengalami pendarahan hidung selain tidak bermaya.

“Semakin lama kami menangguhkan pembedahan di luar negara, semakin teruk keadaannya termasuk kulitnya pucat, mata kekuningan dan perut buncit.

“Duit terkumpul sebanyak RM90,000 disumbangkan orang ramai selepas kisah penderitaan anak tersebar di media sosial masih jauh daripada mencukupi untuk kos pembedahan menyebabkan kami runsing memikirkan nasib bayi kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Zuraitun berkata, pada awalnya, bayinya yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Mas dinasihatkan menjalani rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas disahkan mengalami jangkitan kuman.

Menurutnya, bayinya kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebelum doktor mengesahkan dia mempunyai masalah kegagalan fungsi hati.

Katanya, dengan pendapatan suami sebagai peneroka kira-kira RM1,500 sebulan dan dirinya yang tidak bekerja, sudah tentu usaha mengumpul wang yang mencukupi bagi rawatan anaknya mengambil masa lama.

Menurutnya, minggu depan, dia dan suami akan menjalani pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi memastikan siapa lebih sesuai menderma dan ia proses terakhir sebelum pembedahan dilakukan.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 101075481127 atas nama Zuraitun Zakaria atau menghubungi talian 019-7043423.

myMetro 18 Mei 2016





0 comments:

Post a Comment