May 26, 2016

Madrasah perlu RM6.1j

Pelajar madrasah ketika mengikuti pengajian.

PANTAI REMIS - Pihak Madrasah Darul Ulum Wal Qiroat di Kampung Tebuk Yan 2 di sini, memerlukan bantuan dana sebanyak RM6.1 juta bagi meneruskan pembinaan fasa kedua di kawasan tersebut.

Madrasah Darul Ulum Wal Qiroat ditubuhkan sejak 2013 lalu bermula dengan hanya dua pelajar sehinggalah meningkat kepada hampir 120 pelajar sekarang.

Mudir madrasah, Maulana Jalaluidn Abdul Rahman berkata, pihaknya memerlukan bantuan itu bagi membina sebuah masjid dua tingkat, asrama dan rumah guru.

Menurutnya, sumbangan orang ramai amat dialu-alukan bagi tujuan pembinaan itu kerana pihak madrasah tidak mempunyai cukup kewangan setakat ini.

Beliau berkata, madrasah itu menekankan kepada hafalan al-Quran selain beberapa pengajian lain.

“Ada pelajar kita yang berjaya menghabiskan 30 juzuk al-Quran dan ada antara mereka selalu dipanggil untuk menjadi imam terutama menjelang Ramadan.

“Selain itu, kita turut membuka kelas pengajian pada setiap Ahad dan ia mendapat sambutan menggalakkan orang ramai.

“Disebabkan itu juga, kami memerlukan ruangan lebih besar untuk memberi keselesaan kepada pengunjung,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melakukannya melalui akaun tabung pembangunan masjid CIMB Islamic Bank Berhad atas nama Madrasah Darul Ulum Wal Qiroat (8602307468); tabung pembangunan madrasah Maybank Islamic Berhad atas nama Madrasah Darul Ulum Wal Qiroat (5581 8105 3065); tabung bantuan naik taraf sistem penapisan air Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Madrasah Darul Ulum Wal Qiroat (0805 9010 0252 99).

Wartawan Sinar Harian
25 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment