May 21, 2016

Lima pelajar belasah rakan sering minta wang

RAKAMAN video mangsa dibelasah.

Jempol: Lima pelajar sebuah sekolah menengah di Bandar Seri Jempol di sini, membelasah rakan mereka yang juga pelajar sekolah sama kerana tidak puas hati dengan tindakan mangsa yang sering meminta wang daripada seorang rakan.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 16 tahun dipukul berhampiran kafe siber di bandar ini, jam 4 petang, Jumaat lalu.

“Mangsa bagaimanapun tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada keluarganya sehingga ibunya menerima satu rakaman video berkaitan kejadian menerusi aplikasi WhatsApp.

“Ibu mangsa melaporkan kejadian di Balai Polis Bandar Seri Jempol, jam 9 pagi kelmarin sebelum lima pelajar berusia 13 tahun hingga 17 tahun ditahan jam 12 tengah malam itu juga bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, semalam.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek memukul mangsa kerana tidak puas hati dengan tindakannya yang sering meminta wang daripada rakan mereka.

Perkara itu diadukan kepada suspek sebelum mereka mencari mangsa dan membelasahnya.

“Pelajar berkenaan dibebaskan selepas direkodkan keterangan. Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro 17 Mei 2016


Lima pelajar ditahan polis kerana membuli

NORAFIDAH ASSAN

BANDAR SERI JEMPOL - Lima pelajar sekolah menengah di sini ditahan semalam selepas didapati memukul seorang pelajar tingkatan empat dalam kejadian Jumaat lalu.

Ketua polis daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, insiden itu bagaimana pun diketahui ibu mangsa selepas menerima Whatsapp daripada kenalannya berhubung video anaknya dipukul secara beramai-ramai semalam.

"Menerusi video yang berdurasi 1:01 minit ini dipercayai berpunca apabila mangsa dikatakan kerap 'pau' salah seorang pelajar (pelajar tingkatan satu) yang memukulnya.

"Akhirnya pelajar ini memaklumkan hal itu kepada rakan-rakannya yang lain sehingga berlakunya kejadian pukul dekat sini. Salah seorang pelajar itu telah merakam aksi pukul memukul itu yang mana mangsa dilihat tidak melawan,"katanya ketika mengesahkan laporan, hari ini.

Noorzainy berkata, kesemua pelajar yang ditahan adalah satu sekolah dengan mangsa berumur antara 13 hingga 17 tahun.

"Masing-masing ditahan di rumah bagi melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Mangsa didapati mengalami lebam-lebam selepas insiden itu bagaimana pun tidak memaklumkannya kepada keluarga namun diketahui selepas ibunya mendapat rakaman video melalui Whatsapp,"katanya.

Sinar Harian 16 Mei 2016






0 comments:

Post a Comment