May 23, 2016

Lelaki maut berbalas tembakan dengan polis

MUHAMMAD AMINURALIF MOHAMAD ZOKI

TASEK GELUGOR - Seorang lelaki maut ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Ara Kuda.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa yang berumur 30an itu menaiki sebuah kereta Proton Wira.

Kereta Proton Wira yang dipandu suspek dipercayai datang dari arah Ladang Malakoff sebelum terserempak dengan anggota polis yang menjalankan rondaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komissioner Azmi Adam berkata, kedua-dua suspek berada dalam keadaan mencurigakan.

"Pihak polis kemudiannya mengekori kereta suspek sehingga ke Jalan Ara Kuda, suspek yang perasan mereka diekori cuba melarikan diri dari pihak polis.

"Suspek yang bertindak keluar dari kenderaan tersebut melepaskan beberapa das tembakan mengenai kereta pasukan.

"Kejadian berbalas tembakan berlaku di antara suspek dan pihak polis, polis akhirnya berjaya menembak mati suspek di bahagian badan suspek," katanya.

Katanya, suspek yang maut di tempat kejadian di bawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

"Hasil pemeriksaan awal di kereta yang dinaiki suspek menemui sepucuk pistol 42 gram dadah jenis heroin dan 2 gram syabu.

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta yang dipandu suspek mendapati tiada rekod kereta tersebut dicuri," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Senjata Api Hukuman Lebih Berat.

Sinar Harian
23 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment