May 27, 2016

Lelaki 300kg tak sempat huni rumah baru

SERAMAI 20 penduduk kampung membantu mengusung jenazah Majidi, semalam.

myMetro

Padang Terap: “Arwah seperti tidak sabar mahu tinggal di rumah baru yang akan dibina khas di sebelah kedai runcitnya sebaik keluar dari hospital, tetapi Allah lebih sayangkannya,” kata Mohd Shahidan Abu Bakar.

Mohd Shahidan, 38, abang kepada lelaki obesiti Majidi Abu Bakar, 33, yang meninggal dunia jam 11.40 malam kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Alor Setar (HAS).

Menurutnya, adiknya yang mempunyai berat badan 300 kilogram (kg) selain mengalami kaki untut sejak berusia 16 tahun menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung.

Katanya, anak bongsu daripada lapan beradik itu dibawa ke HAS untuk mendapatkan rawatan susulan kaki kiri yang mengalami untut semakin membengkak selain jangkitan kuman.

“Kami berbincang dengan doktor semalam (kelmarin) dan menjangkakan dia akan menjalani pembedahan selepas Aidilfitri, namun keadaan Majidi semakin kritikal dan kelihatan lesu sejak seminggu lalu.

“Arwah yang turut mempunyai penyakit darah tinggi, paru-paru berair dan lelah menghembuskan nafas terakhir di sisi saya, dua kakak dan abang ipar malam tadi (kelmarin),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Barokhas, Jalan Pedu, di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Barokhas, jam 3 petang semalam.

myMetro 27 Mei 2016


Hasrat bina pondok tak tercapai

Wakil Adun Kuala Nerang, Zainal Aziz Md Zain (kanan) semasa melawat Majidi di rumahnya, baru-baru ini.

KUALA NERANG - Hasrat seorang pesakit untut membina pondok bagi memudahkan pengurusan dirinya tidak kesampaian apabila meninggal dunia di Hospital Alor Setar (HAS), semalam.

Mohd Shahidan Abu Bakar, 38, dari Kampung Barokas, berkata, adiknya Majidi Abu Bakar, 33, menghidap penyakit untut sejak lima tahun lalu dan sering mendapat rawatan di hospital itu.

Menurutnya, semasa dimasukkan di hospital, adiknya itu berhasrat untuk membina pondok sendiri bagi memudahkan keluarga menjaganya.

"Sejak berat badan adik naik 300 kilogram (kg), kami berdepan masalah untuk uruskan dia. Sebab itu arwah berhasrat membaiki pondok lama bagi memudahkan kami menjaganya, tapi tak kesampaian.

"Sebelum ini kami sukar nak bawa dia keluar dari rumah sebab masalah berat badan yang arwah hadapi. Kami juga terpaksa guna khidmat lori dari Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk bawanya ke HAS," katanya.

Selain dari masalah sakit untut, Majidi juga menghidap penyakit paru-paru berair, jantung dan darah tinggi menyebabkan dia perlu mendapatkan rawatan di hospital setiap bulan.

Mohd Shahidan berkata, sejak akhir-akhir ini adiknya itu seperti tidak mahu berpisah dengan mereka dan dia enggan melepaskan tangan setiap kali dipegang.

"Wajahnya juga seperti tak bermaya. Mungkin dah tak tahan tanggung sakit yang dihadapi.

"Sebelum ini doktor pernah cuba melakukan pembedahan di kaki kiri adik yang membesar tetapi tidak dapat dilakukan akibat masalah jantung dan paru-paru berair," katanya.

Katanya, oleh kerana adiknya itu mempunyai masalah berat badan berlebihan, mereka telah membuat keranda khas untuknya sepanjang dua meter panjang dan 1.5 meter lebar.

"Jenazah adik diangkat oleh lebih 15 orang bagi memudahkan kerja pengebumian.

"Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Kampung Barokas selepas solat zohor," katanya.

Wartawan Sinar Harian
27 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment