May 21, 2016

Kokokan ayam lapar bawa petunjuk

Kuala Pilah: Kokokan ayam luar biasa dari rumah seorang warga emas di Kampung Sri Pilah di sini, membawa kepada penemuan mayat lelaki terbabit di dalam bilik air, semalam.

Mayat Mohd Lasim Anchah, 79, ditemui adik iparnya Mohd Ramli Ibrahim, 74, yang menjenguk ke rumah itu jam 9.30 pagi.

Sebelum itu, Mohd Ramli berkata, dia dan isterinya berasa tidak sedap hati ketika bangun menunaikan solat Subuh jam 6 pagi, lalu ke kediaman mangsa di hadapan rumahnya.

“Saya cari abang ipar di dalam rumah tetapi tiada. Saya pulang ke rumah dan beranggapan dia keluar memancing bersama rakannya kerana saya tidak melihat kelibatnya sejak petang semalam (kelmarin).

“Bagaimanapun, selepas pulang dari membuat pemeriksaan kesihatan di klinik, saya dengar kokokan ayam peliharaan abang ipar seperti kelaparan.

“Isteri meminta saya menjenguk rumah abangnya itu sekali lagi,” katanya, semalam.

Katanya, dia memberi makan ayam di kawasan reban sebelum terkejut melihat kaki manusia dari bawah pintu bilik air di luar rumah bersebelahan reban ayam berkenaan.

“Saya segera membuka pintu bilik air itu dan menemui abang ipar terbaring dengan memakai tuala.

“Saya periksa keadaannya dan mendapati dia tidak lagi bernyawa.

“Saya maklumkan penemuan itu kepada isteri dan jiran sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Mohd Ramli berkata, jenazah Mohd Lasim dibawa ke rumahnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Pilah, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Deputi Superintendan Mohammad Abas berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, mangsa mempunyai rekod penyakit asma dan disahkan ahli keluarga terdekat.

myMetro 19 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment