May 21, 2016

Keroyok pelajar OKU

KEADAAN lengan pelajar OKU yang lebam kemerahan.

Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan tidak berhati perut apabila seorang pelajar sebuah pusat tahfiz yang cacat penglihatan cedera teruk dibelasah lima pelajar lain.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, 10 Mei lalu, mangsa berusia 26 tahun dikatakan meninggikan suaranya kepada warden pusat tahfiz itu menyebabkan dia dipukul beramai-ramai.

Difahamkan, mangsa mengikuti pengajian di pusat tahfiz itu sepenuh masa sejak awal bulan lalu.

Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menerima panggilan telefon daripada guru pusat tahfiz terbabit memaklumkan tangan anaknya sakit, Jumaat lalu.

“Saya ke pusat tahfiz itu untuk membawa anak saya pulang ke rumah di Puchong Permai.

“Namun sebaik sampai di asrama pusat tahfiz itu, saya terkejut apabila mendapati kedua-dua lengan anak saya lebam kemerahan. Apabila ditanya, dia memberi alasan jatuh di masjid,” katanya.

Dia membawa anaknya pulang ke rumah di Puchong Permai, di sini, dan cuba memujuknya supaya menceritakan perkara sebenar.

“Anak saya akhirnya mendedahkan kejadian sebenar dia dipukul lima pelajar lelaki di pusat tahfiz itu.

“Saya membawa anak saya mendapatkan rawatan di klinik. Doktor menasihati saya membuat laporan polis,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong selepas mengesyaki anaknya dibuli.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan. Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV).

“Punca kejadian adalah tindakan mangsa meninggikan suara kepada warden menyebabkan dia dipukul lima pelajar lain,” katanya.

Beliau berkata, semua pelajar yang memukul mangsa berusia 12 hingga 15 tahun.

“Kes dirujuk timbalan pendakwa raya selepas siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro 18 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment