May 23, 2016

Jurunikah rebah ketika baca doa

Allahyarham meninggal dunia ketika bacaan doa selepas solat Isyak, malam kelmarin. Gambar kecil: Bongkari Marimon.

JULIZA MOHD SAAD

KLUANG - Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Kadi Daerah Kluang meninggal dunia ketika sedang berdoa sebelum rebah, selepas menunaikan solat Isyak pada malam Nisfu Sya’ban di Masjid Jamek Bandar Kluang, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Bongkari Marimon, 47, rebah secara tiba-tiba.

Anak bongsu daripada tiga beradik, Saidatul Humairah, 15, berkata, ahli keluarganya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 9.30 malam.

Menurutnya, dia yang hanya diberitahu bapanya jatuh selepas menunaikan solat Isyak segera ke masjid berkenaan bersama ibu, Ramlah Abdul Razak, 46, abangnya, Mohd Zaki, 19, dan kakak, Siti Maisarah, 17.

“Apabila tiba di masjid, kami tak sempat berjumpa dengan abah kerana abah dah meninggal dunia. Semua berlaku dengan cepat.

“Kami sekeluarga juga masih dalam keadaan terkejut kerana sebelum pergi ke masjid, abah seperti biasa, tiada sebarang perubahan cuma demam sedikit.

“Abah juga tiada penyakit, tapi tak sangka abah pergi dengan cepat, abah jatuh lepas tu terus meninggal dunia. Semuanya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan Kluang, semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Bongkari disolatkan di masjid berkenaan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan Kluang, jam 11 pagi.

Penceramah terbaik kursus pra perkahwinan

Allahyarham Bongkari disifatkan penceramah terbaik dalam memberi ceramah kursus pra perkahwinan yang dianjurkan Pejabat Kadi Kluang, kerana suka berlawak menggunakan bahasa Jawa, menyebabkan peserta tidak jemu.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor menyifatkan arwah sebagai seorang yang mudah didekati.

Beliau berkata, arwah dikenali masyarakat di daerah ini kerana banyak terlibat dalam majlis keagamaan, menjadi imam, jurunikah, memberi kuliah Maghrib di masjid dan surau serta membaca khutbah.

“Ketiadaannya satu kehilangan besar di Pejabat Kadi Daerah Kluang.

“Seorang pegawai yang mengekalkan solat berjemaah lima waktu sehari walau di mana berada, tak pernah tinggal solat sunat duha serta solat sunat sebelum dan selepas solat.

“Arwah Bongkari bukan sahaja rapat dengan masyarakat, tapi rapat dengan ALLAH SWT. Maka ALLAH SWT memberikan beliau mati pada hari yang mulia sewaktu sedang solat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pegawai disenangi

Mohd Khalil berkata, arwah seorang pegawai yang disenangi ketua di pejabat.

Menurutnya, sepanjang hayatnya, arwah tidak pernah mengelak atau memberi alasan apabila diminta hadir ke sesuatu program seperti membaca doa pada majlis rasmi, wakil mesyuarat dan ketika diminta menyelesaikan sesuatu tugas.

“Dalam tempoh tujuh tahun saya bertugas sebagai ketua, tidak pernah sekalipun beliau tak ikut arahan walaupun terpaksa mengorbankan masa siang atau malam di luar waktu pejabat.

“Malah, saya juga tak pernah dengar perkataan ‘tidak boleh’ daripada mulut beliau dalam melakukan setiap tugasan diberikan,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
23 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment