May 21, 2016

Hukuman gantung Jabing sudah dilaksanakan

Gambar Jabing yang dirakam pada 2010 - Foto polis Singapura.

Singapura: Anak kelahiran Sarawak, Jabing Kho, yang didapati bersalah kerana membunuh, menjalani hukuman gantung sampai mati kira-kira jam 3.30 petang tadi di Penjara Changi.

Pagi tadi Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan penangguhan pelaksanaan hukumannya pada saat akhir.

Perkara itu disahkan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Kamsiah Kamaruddin dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia kini membuat persiapan dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak untuk membawa pulang jenazah Jabing ke negeri itu, esok.

Kakak Jabing, Jumai Kho, berkata adiknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 1, Jalan Kuala Baram, Miri, Sarawak.

Jabing yang beragama Kristian, memeluk Islam ketika dalam penjara.

Prosiding rayuan penangguhan hukuman yang mengambil masa lebih tiga jam pagi tadi, didengar di hadapan panel Hakim Rayuan Chao Hick Tin dan Andrew Phang serta hakim Woo Bih Li, Lee Seiu Kin dan Chan Seng Onn.

Sebaik jurubahasa membacakan penolakan rayuan itu, Jabing yang memakai seragam penjara, kelihatan menutup mukanya dengan tangan. Dia dibenarkan bertemu ibu dan kakaknya dari sebalik dinding kaca.

Pelaksanaan hukuman Jabing sepatutnya dijalankan subuh hari ini namun peguamnya, Jeanette Chong-Aruldoss, berjaya memperoleh penangguhan sementara pelaksanaan hukuman itu selepas memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berikutan mendapat perintah Mahkamah Tinggi lewat malam tadi.

Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, Jabing, 31, dihukum gantung pada 2010 selepas didapati bersalah membunuh pekerja binaan warga China, Cao Ruyin, dalam cubaan merompak di Geylang Drive di sini, pada 2008, bersama rakan senegerinya, Galing anak Kujat.

Bagaimanapun, Jabing berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan hukuman itu pada 2013 susulan kajian semula undang-undang mati mandatori di Singapura dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan.

Namun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengembalikan hukuman mati terhadap Jabing pada Januari 2015 dan Mahkamah Tinggi menolak rayuan terakhir Jabing pada 5 April 2016.

Pada November 2015, peguam Jabing mengemukakan usul jenayah untuk mengurangkan hukumannya dan mendapat kebenaran menangguhkan hukuman bagi membolehkan peguam menyediakan kesnya semula.- BERNAMA

myMetro 20 Mei 2016


Jasad Jabing Kho dijangka tiba di Miri petang ini

SINGAPURA - Jasad Jabing Kho, rakyat Malaysia yang hukuman mati terhadapnya dilaksanakan di Singapura semalam, dijangka tiba di Lapangan Terbang Miri, Sarawak, kira-kira 4 petang ini.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura mengesahkan perkara ini kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang anggota keluarga memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa jasad Jabing dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 1, Jalan Kuala Baram, Miri.

Jabing, 31, yang menganuti agama Kristian sebelum ini, memeluk Islam ketika di dalam penjara dan memilih Muhammad sebagai nama baharunya.

Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, dia dijatuhi hukuman mati enam tahun lepas setelah didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga China, Cao Ruyin dalam cubaan merompak di Geylang Drive di sini pada 2008.

Semalam, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuannya di saat akhir untuk penangguhan pelaksanaan hukuman gantung dan dia menjalani hukuman itu pada 3.30 petang di Kompleks Penjara Changi di sini. – Bernama

21 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment