May 21, 2016

Hancur lumat

KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di jalan susur masuk ke Mid Valley di Lebuhraya Persekutuan, semalam.

Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hancur lumat menjadi besi buruk. Itu yang berlaku apabila kereta Honda Civic dinaiki empat mangsa merempuh tiang lampu sebelum berkecai.

Dalam kejadian jam 3 pagi semalam, seorang penumpang wanita ditemui maut di dalam kenderaan yang terbalik di jalan susur masuk ke Mid Valley di Lebuhraya Persekutuan, di sini, semalam.

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Nurshahira Ishak, 19, manakala tiga lagi yang parah adalah pemandu kereta, Ahmad Fawwaz Alias, 28, Khairul Azuan Zakiruddin, 34, dan Khairul Hakim Zakiruddin, 19.

Difahamkan kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki mangsa hilang kawalan setibanya di lokasi nahas.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.31 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya anggota bomba di lokasi, mereka mendapati empat mangsa berada di dalam kenderaan itu.

“Tiga mangsa lelaki tidak sedarkan diri ketika anggota bomba mengeluarkan tubuh mereka yang terperangkap,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi penumpang wanita yang turut tersepit maut akibat kecederaan parah dialami.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, siasatan pihaknya mendapati kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh tiang lampu.

“Semua mangsa dalam perjalanan dari Petaling Jaya menuju ke pusat bandar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Markandan berkata, mangsa yang parah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

myMetro 20 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment