May 21, 2016

Empat beradik berhenti sekolah

Wakil LZNK memberi bantuan keperluan makanan kepada keluarga itu.

PENDANG - Empat adik beradik berusia tujuh hingga 14 tahun dari Ampar Kiri, di sini, terpaksa berhenti sekolah akibat kemiskinan hidup.

Ibunya, Manlee Daeng, 49, berkata, kesemua anaknya itu terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mampu menampung perbelanjaan persekolahan mereka.

Menurutnya, sebelum ini mereka tinggal di Kodiang, Kubang Pasu, namun terpaksa berpindah ke daerah ini kerana sewa kediaman jauh lebih rendah.

“Walaupun sewa kediaman ini murah, tapi ia tak dilengkapi dengan kemudahan asas kerana kami tak mampu sediakan semua itu.

“Kami terpaksa guna air sungai di belakang rumah atau bergantung sedekah jiran terdekat untuk keperluan harian kerana tiada kemudahan bekalan air,” katanya.

Manlee berkata, suaminya, Asri Hajar, 42, hanya bekerja mengambil upah kerja kampung seperti membawa lori untuk menyara kehidupan mereka anak beranak.

Pasangan berkenaan mempunyai seorang anak perempuan, Norshafikah, 14, dan tiga anak lelaki, Muhammad Yusri, 12, Mohd Fakulduan, 10, dan Muhammad Ikmal, 7.

Bagaimanapun, nasib keluarga ini mendapat perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Cawangan Pendang yang segera menziarahi mereka, semalam.

Pengurusnya, Khadri Shaari berkata, Asri adalah penerima bantuan LZNK ketika tinggal di tempat lamanya bagi bantuan awal persekolahan sejak beberapa tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata, bantuan itu terputus selepas mereka sekeluarga berpindah ke daerah ini.

Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat LZNK, Ahmad Hambali Mohd Puat, pula berkata, pihaknya segera ke kediaman baharu berkenaan untuk bantuan susulan, sebaik menerima maklumat daripada Jabatan Khidmat Sosial Klinik Kesihatan Pendang.

“Pihaknya berterima kasih kepada jabatan berkenaan yang memberikan maklumat mengenai anak Asri yang tidak lagi bersekolah akibat kesempitan hidup.

“Namun, kami difahamkan keluarga ini kini dalam proses permohonan semula sesi persekolahan, selepas pihak sekolah menerima maklumat berkaitan status kemiskinan mereka,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment