May 21, 2016

Cari ibu bapa anak angkat

Norizamuddin memangku Sara manakala Nor Zaliah menunjukkan laporan polis yang dibuat Ismail bagi menyerahkan hak penjagaan Sara kepada mereka.

KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri di Jalan Lombong, di sini merayu agar ibu bapa kandung anak angkatnya yang merupakan warga Rohingya tampil bagi membantu menguruskan urusan dokumentasi kanak-kanak berkenaan.

Nor Zaliah Tubani, 38, berkata, dia telah menjaga Nur Qaseh Maisara, 2, sejak kanak-kanak itu berusia sebulan lagi selepas diserahkan bapanya, Ismail Nur Amin, 26.

Bagaimanapun, ibu kanak-kanak itu, Sathra Bagum Abdul Ali, 22, mengambilnya semula selepas tiga hari dia dan suami, Norizamuddin Moftah, 41,  menjaga kanak-kanak itu.

“Sebulan kemudian, Ismail menyerahkan kembali Sara dan meminta kami menjaganya. Ismail beritahu dia tak mampu untuk jaga Sara kerana telah bercerai dengan isterinya.

“Dia juga sempat membuat laporan polis bagi tujuan penyerahan anaknya itu kepada kami dengan rela. Bagaimanapun tidak lama kemudian Ismail terus ‘menghilang’ apabila kami mahu mengajaknya untuk proses angkat sumpah pula," katanya ketika ditemui.

Nor Zaliah berkata, kali terakhir dia berjumpa Ismail ketika lelaki itu bekerja di sebuah kedai makan dekat bandar Kota Tinggi, kira-kira dua tahun lalu.

“Kami sudah anggap Sara seperti anak sendiri. Hasil perkahwinan dengan suami, kami belum dikurniakan anak. Jadi kami bimbang masa depan Sara sekiranya proses dokumentasinya tidak diselesaikan.

“Jadi kami minta kepada ibu bapa Sara agar tampil bagi membantu kami melancarkan proses itu," katanya lagi.

Wartawan Sinar Harian
14 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment