May 21, 2016

Bapa buntu fikir punca rezeki

Che Wan Hasin di samping isteri dan salah seorang anaknya.

RUBIAH OMAR

PAKA - Penyakit kencing manis yang agak kritikal menyebabkan seorang bapa kepada empat anak di kampung Gong Beting, di sini, hilang punca pendapatan kerana tidak mampu keluar bekerja dan mencari rezeki untuk menyara keluarganya.

Che Wan Hasin Che Wan Sulong, 53, sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan dan sudah lama menghidap penyakit berkenaan sehinggalah dia terlantar di rumah sejak dua bulan lalu kerana keadaan betisnya semakin teruk.

Menurut Che Wan Hasin, dia menjalani pembedahan untuk membuang daging memburuk pada dua bulan lalu dan menjalani rawatan susulan sehingga kini serta perlu mencuci luka hampir setiap hari di klinik berhampiran.

"Sekarang ini kami sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Anak-anak saya baru berusia 6 hingga 16 tahun dan mereka semua masih bersekolah.

"ISteri pula suri rumah sepenuh masa dan dalam keadaan sebegini memang saya tak boleh keluar bekerja. Penyakit ini menyebabkan saya sukar bergerak dan tak boleh berdiri. Saya perlu jalani rawatan serta pemeriksaan susulan," katanya sambil memaklumkan dia akan dibantu oleh bapa mertuanya untuk ke hospital.

Tambahnya, dia memang tiada punca pendapatan lain dan selain bantuan JKM, mereka sekeluarga hanya berharap ihsan jiran tetangga, sanak saudara serta rakan-rakan.

Katanya, dia memerlukan lebih RM400 untuk keperluan ubatan setiap bulan dan perbelanjaan itu tidak termasuk kos ulang alik ke hospital.

"Bukan hanya kos ubatan yang perlu difikirkan sekarang ini, kerana lebih penting adalah perbelanjaan untuk anak-anak ke sekolah. Memang kami sekeluarga agak susah ketika ini dan tak tahu ke mana mahu mengadu," katanya.

Sekiranya ada mana-mana pihak sudi membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan mereka ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 11116-29-00013488-4 atas nama Che Wan Hasin.

Sinar Harian 18 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment