May 26, 2016

Baling kayu enggan turun

ANGGOTA Bomba cuba memujuk wanita supaya turun. FOTO Rasul Azli Samad

ANGGOTA bomba menerkam mangsa yang mengumpul kayi untuk dibaling. FOTO Rasul Azli Samad

MANGSA dibawa turun selepas kira-kira lima jam berada di atas tiang jambatan yang sedang dibina. FOTO Rasul Azli Samad


Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Seorang wanita yang nekad membaling kayu ke arah anggota bomba yang cuba menyelamatkannya akhirnya dibawa turun selepas kira-kira lima jam berada di atas tiang jambatan sedang dibina di Jalan Pesisir Pantai Klebang, Dataran 1Malaysia, di sini, tengah malam tadi.

Difahamkan wanita berusia 33 tahun itu berada di puncak tiang jambatan menaiki tangga buatan yang digunakan buruh binaan di situ, sejak 12 tengah malam.

Menurut sumber, cubaan awal polis tidak berjaya memujuk wanita beralamat di Felda Keratong, Pahang, menyebabkan bomba dihubungi pada 2.35 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya tiba di lokasi pada 2.48 pagi dengan kekuatan lapan anggota termasuk pegawai.

"Kita berdepan masalah kerana laluan menaiki tiang jambatan hanya satu manakala usaha memujuk wanita terbabit turun tidak berjalan lancar disebabkan dia hanya berdiam diri.

"Malah lebih buruk, wanita terbabit membaling kayu yang ada di atas tiang terbabit ketika anggota bomba cuba naik menggunakan tangga sementara yang ada pada tiang itu," kata Roslan ketika ditemui.

Tambah Roslan, situasi berbahaya berikutan dalam air yang menghubungkan sungai dan laut itu mempunyai struktur cerucuk besi, membahayakan bukan hanya kepada wanita yang cuba membunuh diri malah anggotanya.

Begitupun, pada 4.50 pagi seorang anggota bomba bertindak naik ke atas tiang menerkam dan memeluk suspek yang ketika itu sedang memgumpul kayu untuk dibaling ke bawah.

Wanita terbabit diturunkan dengan selamat dan operasi tamat pada jam 5.05 pagi.

myMetro 25 Mei 2016



Bomba selamatkan wanita cuba terjun dari jambatan

MELAKA - Dataran 1Malaysia, Klebang, di sini, gempar seketika apabila kelihatan seorang wanita cuba untuk terjun dari jambatan sementara pada ketinggian kira-kira 10 meter, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, wanita berusia 33 tahun dipercayai mengalami masalah peribadi, bertindak memanjat besi konkrit jambatan sementara yang masih dalam pembinaan berhampiran Pantai Klebang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat negeri, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang mengatakan ada seorang wanita mahu terjun dari jambatan berkenaan pada jam 2.35 pagi.

Beliau berkata, sebuah jentera bomba dan Pasukan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu membabitkan lapan anggota termasuk pegawai dikejarkan ke tempat kejadian sejurus kemudian.

“Bomba mengambil masa dua jam untuk memujuk wanita itu sebelum pihak kami memutuskan untuk menghantar dua anggota untuk naik ke atas jambatan dan menahannya.

“Hasil pujukan tak berjaya selepas wanita itu bertindak agresif dengan membaling batu ke arah anggota terbabit, bagaimanapun tiada kecederaan dialami,” katanya di sini, semalam.

Kamarulzaman berkata, sebaik sahaja bomba berjaya menurunkan wanita terbabit, anggota polis yang berada di bawah telah menahan dan membawanya ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment