May 21, 2016

Balasan bakar isteri

Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my

Kangar: Penganggur dijatuhi hukuman penjara 18 tahun serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas kesalahan membakar isterinya di sebuah rumah di Kangar, Perlis dua tahun lalu.

Tertuduh, Akmal Zakwan Ahmad Zaini, 24 dijatuhi hukuman itu setelah Hakim Mahkamah Sesyen, Azhar Mokhtar mendapati tertuduh terbukti bersalah atas kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap selain dikehendaki membayar sebanyak RM2,000 sebagai kos pendakwaan di mana kegagalan berbuat demikian boleh dipenjara dua tahun.

Akmal Zakwan yang berbaju kemeja berwarna kelabu dan berseluar panjang hitam kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan kepadanya sambil disaksikan oleh ahli keluarganya yang turut berada di kamar mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Akmal Zakwan didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Nurul Syafikah Ismail, 24 dengan membakarnya di Lot 258 Kampung Abi Padang Macang, Kangar pada 6 Julai 2014 jam 9.30 pagi

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Ketika menyampaikan keputusan hukuman, Azhar berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan kes itu.

€œOleh hal demikian, pihak mahkamah mendapati kenyataan tertuduh berlainan dengan kenyataan yang diberikan oleh saksi pembelaan terutama dari segi lokasi letaknya minyak petrol yang digunakan oleh tertuduh untuk membakar mangsanya sebelum kejadian itu.

“Selain itu, kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah sangat serius kerana meninggalkan kesan yang mendalam kepada mangsa yang juga isterinya bukan hanya kepada kecederaan yang dialami mangsa tetapi penerimaan masyarakat terhadap keadaan mangsa selepas kejadian itu”€ katanya.

Sebelum itu, peguam yang mewakili tertuduh, Pyara Singh merayu kepada mahkamah supaya mempertimbangkan satu bentuk hukuman yang minimum diberikan kepada tertuduh dengan alasan kejadian itu berlaku selepas tertuduh melihat kandungan dalam telefon bimbit itu yang dilihat sebagai faktor kepada provokasi keatas kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif memohon supaya hukuman berat dapat diberikan kepada tertuduh dalam mengambil kira situasi dan impak kejadian itu terhadap mangsa.

Selain itu juga, Nur Nisla menyatakan bahawa hukuman itu juga adalah sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya bersikap rasional sebelum melakukan sesuatu perkara.

Dia juga memohon supaya pampasan dapat diberikan kepada mangsa yang masih lagi menjalani rawatan susulan selepas kejadian itu sehingga sekarang.

myMetro 20 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment