May 21, 2016

Bakal pengantin meninggal dunia

Arwah Norhayatie (kanan, di belakang) bersama tunang dan adik beradiknya serta Muhamad Amirul (kiri) semasa majlis pertunangan.

Mayat kedua-dua beradik ini dihantar ke Pasir Mas untuk urusan pengebumian.

HAZELEN LIANA KAMARUDIN & AKMALIAH RAZAK

PASIR MAS - Impian seorang ibu untuk melihat anak perempuan sulungnya melangsungkan perkahwinan tidak kesampaian apabila anaknya itu maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 55, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, di sini jam 9.30 pagi semalam.

Lebih menyedihkan, kemalangan itu turut meragut nyawa anak lelaki keduanya yang turut sama menunggang motosikal tersebut.

Norizan Mamat, 48, berkata, sehingga sekarang dia masih lagi terkejut dan tidak percaya kedua-dua anak kesayangannya itu pergi serentak.

“Tinggal sembilan hari lagi kenduri kahwin akan diadakan dengan barang-barang persiapan seperti bunga telur, hantaran semua dah siap.

“Ini merupakan kenduri kahwin pertama keluarga kami dan seekor lembu akan ditumbangkan untuk menjamu saudara mara serta tetamu.

“Saya tidak menyangka kenduri kahwin ini akan bertukar menjadi kenduri arwah, dan jika dihitung, 29 Mei ini genaplah tujuh hari pemergian kedua-dua arwah,” katanya ketika di temui di Kampung Perupok Jenereh di sini.

Bakal pengantin, Norhayatie Mohd Asri, 26 dan adiknya, Muhamad Amirul, 21, merupakan anak sulung dan kedua daripada lima beradik.

Norizan berkata, semasa kejadian, kedua-dua anaknya itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas.

Katanya, Norhayatie sudah menunjukkan sikap pelik semasa pulang ke kampung seminggu yang lalu apabila dia banyak termenung dan berdiam diri.

“Sedangkan masa itu dia pulang untuk mengedarkan kad jemputan kahwin, tetapi satu kad pun tidak diedarkan.

“Jika diikutkan perancangan awal, kenduri kahwin ini akan diadakan pada November ini, tetapi arwah tiba-tiba ingin cepatkan bulan ini juga,” katanya.

Menurutnya, kenduri pada 29 Mei ini akan terus diadakan namun diganti dengan kenduri arwah untuk kedua-dua anaknya itu.

Norhayatie bakal mendirikan rumah tangga bersama tunangnya, Zul Fakri Hassan yang berasal dari Batu Buruk, Terengganu.

Tak tahu pulang dengan motosikal

SEMENTARA itu, di Gua Musang, bapa dua beradik berkenaan reda dengan kehilangan serentak anak tersayang dalam tragedi itu.

"Saya reda dengan pemergian kedua-dua anak saya ini, kerana saya tahu, ALLAH SWT sebaik-baik perancang," kata bapa mangsa, Mohd Asri Che Rahman, 50.

Menurut Mohd Asri, dia mendapat panggilan telefon daripada pihak polis pada jam 12 tengah hari semalam dan segera bergegas ke Hospital Gua Musang.

"Saya tak tahu mereka pulang dengan motosikal kerana Amirul baru sahaja membeli motosikal berkeanaan, dua, tiga hari lalu. Kalau tahu, saya takkan benarkan. Selalunya mereka balik dengan bas.

"Malam kelmarin, dia menelefon ibunya memberitahu mahu pulang. Anak sulung saya baru sahaja balik minggu lalu untuk buat persediaan perkahwinannya yang bakal berlangsung 29 Mei nanti.

“Kepulangan kali ini lebih lama kerana arwah ambil cuti panjang sehingga selepas selesai majlis perkahwinan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Gua Musang.

Dalam kejadian itu, Muhamad Amirul dan kakaknya, Norhayatie, beralamat Kampung Perupok Jenereh, Jalan Meranti, Pasir Mas, maut di tempat kejadian setelah motosikal yang mereka naiki terbabas.

Tambah Mohd Asri, kedua-dua anaknya dari lima beradik itu menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan bekerja di sana.

Tema ungu, putih

Sementara itu, sepupu mangsa, Rohani Jusoh, 35, yang tinggal di Jeram Tekoh, di sini, memberitahu, dia dan keluarga turut dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Arwah Hayatie beritahu saya, dia pilih tema ungu dan putih di majlis perkahwinannya. Memang saya bercadang nak balik nanti.

“Malah, ada saudara kami turut terserempak dengan arwah di Bandar Gua Musang pagi tadi. Cuma tak sempat bertegur kerana masing-masing di jalan raya,” katanya lagi. Jenazah dua beradik ini disemadikan di kampung halamannya di Pasir Mas malam tadi.

Sinar Harian 20 Mei 2016


Dua beradik maut, motosikal terbabas

Keadaan mayat dua beradik yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

AKMALIAH RAZAK

GUA MUSANG - Dua maut termasuk penumpang dalam satu kemalangan membabitkan motosikal di Kilometer (KM) 55, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, di sini pada jam 9.30 pagi tadi.

Penunggang motorsikal, Muhamad Amirul Mohd Asri, 21, dan pembonceng iaitu kakaknya, Norhayatie Mohd Asri, 26, beralamat Kampung Perupok Jenereh, Jln Meranti, Pasir Mas, maut di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Saiful Bahri Abdullah, hasil siasatan awal tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada motosikal yang datang dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, motosikal berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri menghala Kuala Krai dan kemudiannya tercampak ke dalam longkang.

"Penunggang dan pembonceng tercampak dan dipercayai kepala terhantuk di bongkah konkrit yang terdapat di kiri jalan.

"Kedua-dua mayat berkenaan dihantar ke  Hospital Gua Musang. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairil Anuar Hassim," katanya.

Sinar Harian  19 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment