May 21, 2016

Bahagia teragut

ISMAIL bersama dua daripada tujuh anaknya di rumah mereka di Kampung Lalok.

Siti Nadzirah Che Mud
am@hmetro.com.my

Machang: Pemergian mengejut isteri tercinta akibat serangan jantung, tiga tahun lalu meragut seluruh kebahagiaan Ismail Hussin, 62, dan tujuh anaknya.

Detik sukar itu bukan saja menjadikan Ismail bapa tunggal, malah lebih perit apabila dia kehilangan wanita yang menjadi sumber inspirasinya untuk meneruskan kehidupan.

Wanita itu, Shamsiah Harun, 40, meninggalkan tujuh cahaya mata yang perlu dididik iaitu Nur Amalina, 20, Nur Amaliza, 18, Mohd Sabri, 16, Siti Nor Baizura, 13, Mohd Shahrul, 11, Fatin Natasha, 6, dan Kairen Hakimi, 4.

Dia mengakui, sehingga kini masih sukar menerima hakikat isterinya pergi buat selama-lamanya namun dia reda dengan ketentuan Illahi.

Tinggal di Kampung Lalok, di sini, Ismail bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan kurang RM500 sebulan.

“Sebelum arwah pergi, dia menunjukkan perubahan yang sangat ketara. Ketika itu, arwah sedang memandikan anak bongsu kami namun dia mandikan terlalu lama sehingga saya menegurnya.

“Jawapan dia ketika itu adalah dia memandikan Kairen Hakimi untuk kali terakhir dan selepas ini saya yang perlu menjaganya.

“Saya terkejut mendengarnya namun tidak memikirkan apa-apa sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir. Kehilangannya sangat dirasai kerana sebelum itu tidak pernah sakit.

“Anak juga tertekan kerana hilang kasih sayang ibu. Namun, kehidupan tetap perlu diteruskan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Menceritakan kehidupan mereka, Ismail memberitahu, anak keduanya, Nur Amaliza terpaksa menamatkan persekolahan sehingga tingkatan empat, dua tahun lalu kerana mengambil alih tugas mengurus adik yang masih kecil.

Katanya, dia seorang tidak mampu untuk mengurus keperluan anak kerana perlu mencari rezeki untuk menyara mereka.

“Kehidupan kami memang berubah 100 peratus. Fikiran saya bercelaru dan tidak tahu bagaimana hendak mengurus tujuh anak seorang diri.

“Disebabkan itu juga Nur Amaliza mengambil keputusan berhenti sekolah untuk menjaga adik-adiknya, manakala anak sulung Nur Amalina bekerja sebagai pengasuh di Kuala Lumpur.

“Dia juga bantu saya menambah pendapatan keluarga,” katanya yang kesal kerana tidak dapat memberi pendidikan sempurna buat anak disebabkan kesesakan hidup.

Katanya, dengan pendapatan kurang daripada RM500 sebulan menjadi kekangan kepadanya untuk memastikan tiga anak yang masih bersekolah menerima pendidikan sempurna.

myMetro 21 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment