May 27, 2016

Ajal menanti hidangan

KEADAAN kedai makan rosak teruk akibat dirempuh lori balak yang juga meragut satu nyawa. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

Gua Musang: Seorang lelaki maut selepas lori balak terbabas sebelum merempuh sebuah kedai makan di Kilometer 41.2 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Bandar Chiku dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa, Abdul Rahman Mohamed Zaidi, 23, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Pemandu lori Ghazali Yazid, 56, dan seorang lagi pelanggan kedai makan, Yusman Azuan Syakri, 21, turut mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, ketika kejadian lori balak tanpa muatan berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Kuala Krai.

Katanya, ketika kejadian mangsa berada di dalam kedai berkenaan dikatakan sedang menunggu makanan yang pesan bersama dua rakannya.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, lori itu dikatakan mengalami masalah stereng, terbabas dan melanggar sebuah kereta dan tiga motosikal yang diparkir di bahu jalan sebelum merempuh kedai makan berkenaan.

"Mangsa yang turut berada di dalam kedai berkenaan diseret sejauh 10 meter dan maut di tempat kejadian manakala dua rakannya sempat menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957," katanya.

myMetro 27 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment