May 23, 2016

61 kes kencing tikus dicatat

SYAMILAH ZULKIFLI

SEREMBAN – Pelajar perempuan berusia 13 tahun dari Sikamat merupakan pesakit terbaharu kes kencing tikus atau leptospirosis di negeri ini, sekali gus menjadikan jumlah dicatat sebanyak 61 kes dari Januari sehingga pertengahan Mei tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Abdul Rahim Abdullah, bagaimanapun berkata, jangkitan terhadap pelajar terbabit tiada kaitan dengan kes di Hutan Lipur Jeram Toi, Jelebu.

“Berdasarkan pergerakan pesakit dan tanda-tanda penyakit mula berlaku tidak berkaitan dengan kes di Jeram Toi dan semakan kami juga tidak menemui sebarang kes leptospirosis yang boleh dikaitkan dengan kes ini.

“Namun kita masih belum pasti lokasi sebenar pesakit dijangkiti dan dia dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Rabu lalu," katanya.

Sementara itu, katanya, penuntut lelaki Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 6 Mei lalu telah pun dibenarkan pulang, kelmarin.

“Buat masa ini hanya tinggal tiga pesakit di HTJ dan semuanya dalam keadaan stabil.

"Hutan Lipur Jeram Toi juga masih ditutup dan hanya dibuka semula setelah diyakini selamat," katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 296 kes kencing tikus dilaporkan dengan 60 peratus kes dikenal pasti dijangkiti di persekitaran domestik atau persekitaran rumah.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan memilih hanya kawasan rekreasi yang bersih bagi mengelakkan sebarang risiko penyakit berjangkit.

Abdul Rahim berkata, orang ramai diingatkan supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami tanda-tanda penyakit seperti demam, sakit kepala dan badan selepas melawat ke kawasan rekreasi sila dapatkan rawatan perubatan segera.

Sebelum ini, seorang pelajar lelaki Kolej Lagenda di Mantin meninggal dunia pada 12 Mei lalu akibat penyakit kencing tikus selepas mandi di Hutan Lipur Jeram Toi, Jelebu pada 30 April lalu.

Mangsa yang berusia 21 tahun dikatakan demam pada 7 Mei selepas mandi di Jeram Toi sebelum dimasukkan ke HTJ dua hari kemudian.

Mangsa disahkan dijangkiti kencing tikus dan dimasukkan ke ICU sehari kemudian, bagaimanapun meninggal dunia pada 12 Mei lalu.

Sinar Harian 22 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment