May 21, 2016

5 tahun derita barah

SITI Norain kelihatan lemah selepas jalani pembedahan buang darah beku.

Batu Pahat: “Tidak mampu berjalan pun tak pa (tidak mengapa), saya boleh jaga. Cuma harapan saya supaya luka di bahagian tulangnya itu pulih sedia kala,” kata Hainei Ahmad, 36, ibu kepada seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang menderita kanser tulang sejak lima tahun lalu.

Tidak pernah terfikir di fikiran Hainei, anak yang dikandung selama sembilan bulan perlu melalui kehidupan sukar selepas disahkan menderita penyakit berkenaan oleh doktor ketika berusia 10 tahun.

Menurut Hainei, dia mengesan tanda awal penyakit anak sulungnya itu sejak berusia satu tahun apabila Siti Norain atau lebih mesra dipanggil Siti tidak berjalan secara normal.

“Pada mulanya saya sangka ia keadaan itu (tidak berjalan normal) biasa dilalui oleh seorang kanak-kanak tetapi keadaannya menjadi lebih teruk ketika meningkat dewasa.

“Doktor kemudian mengesahkan Siti menghidap kanser tulang selepas dimasukkan ke hospital pada usia sepuluh tahun,” katanya.

Katanya, ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu betapa terkejutnya mereka sekeluarga dengan berita didengar itu.

Bercerita lanjut katanya, biarpun sudah menjalani pembedahan, bahagian betis kiri anaknya itu terus membengkak dan disebabkan itu mereka terpaksa berulang-alik dari Batu Pahat ke Johor Bahru bagi menjalani rawatan susulan.

Dia yang mempunyai tiga anak perempuan yang masih kecil berkata walaupun menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), kos yang semakin tinggi menyukarkannya untuk berulang-alik menjaga Siti.

Kini, Siti sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru akibat penyakit kanser tulang di bahagian kaki kirinya hingga menyebabkan struktur tulang membengkok, sekali gus menyukarkannya untuk bergerak secara normal.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan untuk meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi di talian 010-7896542.

myMetro 18 Mei 2016




0 comments:

Post a Comment