May 21, 2016

35 tahun anak OKU hidup terlantar


Pihak Econsave Raja Uda hadir menyampaikan sumbangan kepada keluarga Wan Su, semalam.

TELOK AIR TAWAR - Walaupun sudah berusia 35 tahun, namun seorang lelaki, di sini hanya mampu terbaring tidak bermaya sejak diserang demam panas pada usia tujuh bulan.

Ibunya, Wan Su Darus, 58, berkata, anak sulungnya, Jamil Izwan Abdul Jalil berdepan masalah kurang upaya sejak berusia tujuh bulan lagi.

"Masa itu perubatan tak semoden sekarang. Saya cuba dapatkan rawatan yang termampu tetapi apakan daya, itu membuatkan Jamil hilang upaya.

"Sejak kematian suami beberapa tahun lalu, saya menggalas sepenuhnya tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada Jamil," katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan dugaan itu, namun dia tidak sedikit pun mengeluh dengan apa yang dialaminya itu.

"Pada saya, Jamil permata berharga. Dialah yang menemani saya dan berada di samping saya.

"Saya menjaganya dengan penuh kasih saya sebagai seorang ibu. Walaupun keadaannya tak seperti orang lain yang seusia dengannya, tapi inilah anak tuah saya," katanya.

Wan Su berkata, anak keduanya sudah berumah tangga dan kini menetap di Padang Serai, Kedah manakala anak bongsunya kini masih melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia.

Tambah memilukan apabila katanya, sebahagian rumah yang mereka diami bakal dirobohkan apabila terlibat dengan projek pembangunan sekolah berhampiran.

Katanya, dia kini hanya bergantung pada bantuan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wang kiriman anaknya.

"Dulu saya bekerja sebagai tukang cuci di bangunan pegawai Tentera Udara Diraja Australia (RAF) di Pangkalan Udara Butterworth, tapi mengenangkan Jamil yang sebelum ini saya hantar kepada saudara untuk dijaga, akhirnya saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjaganya sendiri.

"Kini segala urusan Jamil, saya lakukan sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, pihak Econsave Raja Uda hadir menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan seperti lampin pakai buang dan barangan dapur bernilai RM1,000 kepada keluarga ini, semalam.

Wartawan Sinar Harian
14 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment