April 21, 2016

Waris dua beradik dicari

Dari kiri: Muhammad Adib Irfan, Muhammad Adib Idham.

SABAK BERNAM – Nasib dua beradik berusia 3 dan 5 tahun dirundung malang setelah ibu mereka, Norhasimah Dereh menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Penerangan, sejak tiga tahun lalu.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Daerah Sabak Bernam, Maszuki Mat Zin berkata, Muhammad Adib Irfan Abdullah diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak masih bayi selepas menerima aduan daripada jiran yang mendakwa kanak-kanak itu diabaikan pada 2013.

Bagaimanapun, katanya, abang kanak-kanak itu, Muhammad Adib Idham Abdullah sebelum ini dijaga neneknya sebelum menyerahkan cucunya itu kepada seorang kenalannya di Parit 10 Pasir Panjang.

“Namun pada minggu lalu, kenalan nenek yang menjaga kanak-kanak ini menyerahkan semula kepada JKM akibat tidak berkemampuan,” katanya.

Beliau memberitahu, kedua-dua beradik itu kini ditempatkan sementara di Rumah Kanak-Kanak yang dikendalikan JKM mengikut seksyen 19 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sehingga kini, pihak kami masih gagal mengesan ibu, nenek dan waris kepada kanak-kanak ini, malah bapa kanak-kanak itu juga gagal ditemui,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya memohon orang awam yang mengenali waris kanak-kanak itu menyalurkan sebarang maklumat berhubung perkara itu kepada JKM atau pegawai pelindung untuk tindakan lanjut.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai dua beradik ini boleh hubungi JKM atau pegawai pelindung kanak-kanak di talian 03-32242304,” katanya.

Sinar Harian 19 April 2016

0 comments:

Post a Comment