April 21, 2016

Wanita OKU hilang di Pantai Dalam

Suraya hilang sejak enam hari lalu.

SHAH ALAM – Seorang wanita dipercayai hilang selepas keluar daripada rumah adik iparnya yang terletak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur sejak enam hari lalu.

Suraya M Razali, 35, atau lebih dikenali dengan panggilan kak Su merupakan orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai masalah pertuturan.

Menyingkap apa yang berlaku pada hari kejadian, adik ipar mangsa, Shahzlindawati Mustaffa, 33, berkata, kehilangan kakak iparnya itu hanya disedari apabila anaknya yang baharu pulang daripada sekolah memaklumkan ketiadaan mangsa di rumah.

Shahzlindawati berkata,dia pada mulanya menyangka Suraya hanya ke kedai dan akan pulang selepas itu, bagaimanapun kebimbangan mula terasa apabila kelibatnya tidak muncul.

Menurutnya lagi, ia merupakan kejadian kali pertama berlaku memandangkan Suraya tidak pernah keluar daripada rumah tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu sebelum ini.

“Kami sudah cuba mengesannya sejak hari kehilangannya, bagaimanapun sehingga kini masih belum ada petanda Suraya ada di mana-mana. Kami sudah cari di rumah saudara terdekat, Suraya tidak ke sana.

“Jiran juga tidak nampak Suraya keluar,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Kali terakhir Suraya dilihat, mangsa mengenakan baju-T berwarna hijau dan juga berseluar jeans.

Menurut Shahzlindawati lagi, pihaknya sudah pun membuat laporan polis berhubung kehilangan wanita tersebut.

“Kami hanya berharap Suraya dijumpai dengan segera,” katanya lagi.

ATIRAH HASLI
Sinar Harian
20 April 2016

0 comments:

Post a Comment