April 19, 2016

Segala-galanya untukmu Anisha

SITI Rokiah mendukung Siti Nur Anisha ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Bharu, Tumpat.

Tumpat: Ketika usia masih sebulan, bayi kecil itu tidak mengerti apa-apa namun takdir menentukan sebahagian kecil ususnya dibuang kerana kesukaran membuang air besar dan beberapa komplikasi lain.

Itu pembedahan pertama dan di usia lima bulan, bayi malang itu sekali lagi menjalani pembedahan membuang usus dengan keseluruhan usus dibuang ialah satu pertiga daripada jumlah ada.

Ujian Allah terhadap Siti Nur Anisha Sa’aidi, 1, dan keluarganya tidak terhenti di situ saja sebaliknya dia disahkan mengalami jantung berlubang yang memerlukan pembedahan segera.

Kos pembedahan mencecah RM100,000 dan keluarga itu tidak mampu menyediakan jumlah itu apatah lagi mereka masih berhutang lebih RM1,000 dengan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu susulan bil pembedahan lalu.

Namun, kasih seorang ibu, Siti Rokiah Mat Jusoh, 47, akan berusaha mengumpul dana untuk memastikan Siti Nur Anisha menjalani pembedahan dan sihat walaupun terpaksa menjual tapak rumah yang mereka menghuni ketika ini di Wakaf Bharu, di sini.

“Jika tiada cara lain, saya dan suami, Sa’aidi Jusoh, reda.

“Harta boleh dicari, tetapi anak ini rezeki kami, darah daging kami. Dia anugerah Allah SWT yang perlu saya jaga hingga akhir hayat.

“Saya cuma mahukan dia sihat dan membesar seperti bayi lain, jadi saya akan usahakan apa cara sekalipun untuk pastikan dia sembuh,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Setakat ini, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak dibenar makan makanan pejal disebabkan komplikasi pada anggota tubuhnya, malah hanya bergantung kepada susu badan saja.

Katanya, Siti Nur Anisha yang dilahirkan sindrom down juga mempunyai alahan terhadap produk tenusu dan hanya boleh menerima susu berasaskan kacang soya sebagai ganti susu formula.

“Dalam keadaan saya yang tidak bekerja, manakala suami hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM900 sebulan, kami tidak mampu menyediakan keperluan itu.

“Produk makanan tambahan memerlukan kos tinggi dan kami perlu utamakan peruntukan untuk pembedahan jantungnya.

“Saya berharap ada insan yang sanggup membeli tanah ini supaya kami dapat gunakan untuk menampung kos pembedahan dia,” katanya yang memberitahu sudah ada yang berminat dengan tanah berkenaan.

Suri rumah itu memberitahu mereka akan menyewa rumah lain yang lebih murah selepas tanah berkenaan dijual.

Orang ramai yang prihatin dan mahu membantu, boleh menyalur bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional 03117-29-00010814-6 atas nama Sa’aidi Jusoh.

myMetro 12 April 2016



0 comments:

Post a Comment