April 23, 2016

Sanggup tolak tawaran universiti

Awanis (tengah) membelai rambut ayahnya sambil diperhatikan adik kembarnya, Narisha (kanan) dan Natasha (kiri).

Natasha menunjukkan anugerah yang diterima bapa dan arwah ibu.

SIMPANG EMPAT - Seorang anak penerima Anugerah Cemerlang Waris Contoh 2014 di Jalan Kangkung di sini, terpaksa menolak tawaran kemasukan ke universiti kerana perlu bekerja bagi membantu keluarganya.

Roshila Awanis, 22, terpaksa menggalas tanggungjawab itu selepas ayahnya, Rosli Yusof, 48, diserang strok saraf sejak Januari tahun lepas.

Menurutnya, ibunya, Faridah Saad, 46, juga sudah meninggal dunia akibat barah payudara April tahun lepas.

"Selepas ibu meninggal, saya bersama kakak dan tiga lagi adik terpaksa ambil tugas jaga ayah terlantar sakit.

"Sebenarnya jauh di sudut hati saya ingin melanjutkan pelajaran ke menara gading seperti rakan sebaya, namun apakan daya keadaan tidak mengizinkan," katanya.

Katanya, kini dia bekerja sebagai pembantu koperasi dengan gaji bulanan sebanyak RM300 sebulan, manakala kakaknya pula bekerja di sebuah syarikat swasta.

"Walaupun kami berdua bekerja, namun masih tidak cukup untuk menampung keperluan keluarga memandangkan ayah perlu minum susu khas selain guna beg stoma.

"Ayah ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun ia juga tidak cukup," katanya.

Katanya, kini mereka sekurang-kurangnya memerlukan RM1,000 sebulan untuk menampung keperluan ayahnya.

"Jika ekonomi keluarga saya makin teruk, adik kembar saya (Effa Narisha dan Effa Natasha, 18) juga mungkin terpaksa berhenti belajar walaupun ada menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam pada Mei depan dan tawaran temu duga dari pusat pengajian.

"Mereka juga mungkin tidak dapat menunaikan amanah bapa dan arwah ibu yang menerima sijil Anugerah Cemerlang Waris Contoh 2014 pada tahun lepas yang inginkan mereka ke menara gading," katanya.

Tambahnya, mereka masih mempunyai seorang nenek yang tinggal berhampiran, namun neneknya juga perlu menjaga dua sepupunya yang kehilangan bapa mereka dalam satu kemalangan.

"Nenek juga ada menerima bantuan JKM sebanyak RM200 sebulan, namun hanya cukup untuk menampung keperluannya sahaja," katanya.

Bagi sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkannya ke akaun maybank Roshila Murni Rosli 152170222971.

Sinar Harian 22 April 2016

0 comments:

Post a Comment