April 19, 2016

Polis bantuan maut nahas motosikal

KUANTAN - Seorang anggota polis bantuan Felda Bukit Sagu maut selepas motosikal Yamaha 125z yang ditunggangnya terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di Jalan Bukit Sagu 6 dekat sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof berkata, mangsa Mohamad Rosli Mohd Sukri, 24, berasal dari Kampung Bukit Putera, Bandar Permaisuri, Terengganu mati di tempat kejadian.

"Nahas jam  7.30 pagi itu dipercayai berlaku mangsa dalam perjalanan dari Taman Abdul Rashid dekat sini ke Asrama Polis Bantuan.

Sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terlanggar besi penghadang sebelah kiri jalan menyebabkan mangsa tercampak ke lereng bukit di situ, " katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan badan itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

31 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment