April 19, 2016

Penemuan mayat bongkar misteri remaja hilang

Allahyarham Hafizan.

BAGAN SERAI - Misteri kehilangan seorang remaja dari rumahnya sejak dua hari lalu terbongkar apabila mayatnya ditemui di dalam sebuah tali air di Kampung Parit Mentara 3, di sini pagi tadi.

Mayat seorang pekerja am, Mohd Hafizan Nordin,19, ditemui orang awam di tepi parit dalam keadaan keseluruhan tubuh badan dilitupi lumut lebih kurang jam 7 pagi.

Bapa mangsa, Nordin Abdul Rahman, 52, berkata, pada 10 April lalu lebih kurang jam 3 petang, mangsa keluar dari rumahnya di sini dengan menaiki motosikal ke destinasi tidak diketahui pihaknya.

Menurutnya, setelah lebih 24 jam tidak pulang ke rumah, dia berasa bimbang dengan keselamatan mangsa dan mendapatkan nasihat seorang anggota polis sewaktu pergi ke masjid menunaikan solat.

"Anggota polis itu memaklumkan supaya membuat laporan polis terhadap kehilangan arwah pada keesokan hari (hari ini) sekiranya kelibatnya masih tidak ditemui.

"Esoknya, saya mendapati arwah masih tidak berada di dalam biliknya seperti kebiasaan dan segera ke Balai Polis Bagan Serai untuk membuat laporan polis lebih kurang jam 9 pagi," katanya sewaktu dihubungi media.

Nordin berkata, setibanya di balai polis, dia tidak sempat membuat laporan polis seusai diminta membuat pengecaman mayat di bilik forensik Hospital Parit Buntar selepas itu.

Menurutnya, dia mengesahkan mayat dijumpai orang ramai di tali air Parit Mentara 3, merupakan mayat mangsa berdasarkan pakaian berwarna kuning dan tanda pada tubuh badan.

"Kehilangan arwah yang merupakan anak keempat daripada enam beradik amat mengejutkan kami sekeluarga.

"Sebelum ini, arwah tidak pernah menunjukkan sebarang tanda perubahan luar biasa dan kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah,"katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian.

"Polis menerima laporan penemuan mayat lelaki berkenaan lebih kurang jam 8 pagi.

"Mayat itu dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan polis kini menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Sinar Harian 12 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment