April 23, 2016

Pemuda parah akibat telefon meletup

ALOR SETAR - Seorang pemuda cedera parah apabila telefon bimbitnya yang sedang dicaj tiba-tiba meletup ketika dia mahu menjawab panggilan semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata lelaki berumur 28 tersebut dikejarkan ke Hospital Yan kira-kira jam 4.40 pagi.

"Rawatan awal diberikan kepadanya, namun disebabkan beliau perlu diberi rawatan pakar, maka beliau telah dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mangsa dimasukkan ke wad oftamologi untuk rawatan pada mata dan turut mendapati kecederaan pada telinga kanan.

"Mangsa mengalami kesan terbakar dengan serpihan besi di bahagian kanan muka, dada dan tangan kanan serta luka pada kornea mata kanan selain terdapat bendasing di dalam matanya.

"Juga terdapat pendarahan pada telinga kanan dengan kesan gegendang telinganya pecah dipercayai akibat kesan letupan tersebut," kata Dr Norhizan.

Beliau berkata mangsa kini dirawat di bawah pakar oftamologi, pakar bedah serta pakar telinga, hidung dan tekak.

Beliau berkata mangsa dirancang untuk dirujuk ke Hospital Sungai Buloh, Selangor bagi pemeriksaan lanjut pada kornea mata.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Syawal Md Isa dari Kampung Titi Serong, Jalan Dulang, Yan. - Bernama

23 April 2016

0 comments:

Post a Comment