April 19, 2016

Pemuda ditemui tergantung di pokok duku

MARANG - Mayat seorang pemuda yang berumur 39 tahun ditemui dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok duku berhampiran rumah keluarganya di Kampung Padang Tanjung, di sini, pagi tadi.

Mayat mangsa dipercayai meninggal dunia akibat jerutan di bahagian leher itu ditemui oleh ibunya lebih kurang jam 10.30 pagi dan kemudiannya memaklumkan mengenainya kepada penduduk serta ahli keluarganya.

Pihak polis yang menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 11.00 pagi bergegas ke tempat kejadian manakala orang ramai yang turut menerima maklumat mengenainya turut berada di lokasi berkenaan.

Ibu mangsa yang juga merupakan seorang ibu tunggal ketika ditemui Sinar Harian enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu namun memaklumkan anaknya itu mungkin tertekan disebabkan masalah pribadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu berkata, punca sebenar mangsa mengambil tindakan sedemikian masih belum diketahui.

“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah NurZahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Sinar Harian 17 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment