April 19, 2016

Pemandu kereta maut rempuh tiang lampu

Keadaan kereta yang dipandu mangsa yang melanggar tiang lampu. - Foto Sinar Harian

BATU PAHAT – Seorang pemandu kereta maut serta-merta di tempat kejadian setelah kereta yang dipandunya merempuh tiang lampu, di Kilometer 6, Jalan Kluang- Ayer Hitam, hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.30 pagi itu, berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong lori yang berada di hadapannya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, dalam kejadian berkenaan, kenderaan  yang dipandu mangsa, Key Kirk Soon, 73, dari jenis Perodua Kembara dari arah Sri Gading dan menuju ke Batu Pahat.

Katanya, setibanya di lokasi mangsa cuba memotong sebuah lori, namun dengan tiba-tiba sahaja kenderaan berkenaan hilang kawalan, seterusnya bergesel dengan lori terbabit sebelum melanggar tiang lampu yang berada di pembahagi jalan.

“Akibat perlanggaran berkenaan, mangsa tersepit di dalam keretanya, dan turut mengalami kecederaan yang parah di bahagian badan, yang mana kemudiannya disahkan meninggal dunia serta merta.

“Bagaimanapun pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya lagi, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses dokumentasi dan juga tujuan bedah siasat. “Sebaik selesai proses yang dilakukan di HSNI, mayat mangsa kemudiannya dituntut oleh warisnya untuk tujuan yang selanjutnya.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan daripada kejadian ini pihak polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya dapat mengikut peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sinar Harian 14 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment