April 21, 2016

Nur Arissa perlu RM100,000 lagi

Anuar (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Nuradila.

PENANTI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan yang menderita penyakit barah hati memerlukan dana RM100,000 lagi untuk meneruskan rawatan pakar di China.

Nur Arissa Ramadhania yang menghidap penyakit itu sejak berusia tiga bulan perlu melakukan pembedahan segera selain mendapatkan rawatan khusus di sana.

Ibunya, Nuradila Halim berkata, sejak kisah anaknya diviralkan di laman sosial dan WhatsApp, dia telah menerima sumbangan awam kira-kira RM60,000 sahaja dan masih memerlukan dana tambahan.

“Kami pilih untuk bawa Nur Arissa ke China selepas dimaklumkan penyakit yang dihadapi oleh Nur Arissa dapat dirawat dengan cepat di China.

“Kos perubatan sahaja RM160,000, tidak termasuk kos penerbangan, penginapan, makanan dan lain-lain di sana nanti,” katanya di kediamannya di Kampung Petani di sini, semalam.

Terdahulu, Nur Arissa menerima kunjungan rombongan Amanah Parlimen Permatang Pauh yang diketuai oleh Setiausaha Kawasan Anuar Yusuff.

Pada lawatan berkenaan, Amanah Permatang Pauh turut sampaikan sumbangan tunai dan keperluan kepada keluarga kanak-kanak berkenaan.

Anuar berkata, pihaknya telah pun membuat permohonan bantuan zakat berwajib daripada Agensi Negeri, Zakat Pulau Pinang (ZPP) serta akan mengambil tindakan susulan agar kanak-kanak terbabit segera dibantu.

“Selain akan mencari lagi sumbangan awam, kita juga akan cuba berhubung dengan pemimpin kerajaan negeri selain telah memanjangkan perkara ini kepada semua pemimpin masyarakat dalam kawasan termasuk Adun dan Ahli Parlimen.

“Kami juga akan membuat susulan isu ini kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Exco Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Bon Poh serta Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin,” katanya.

Sejak lima bulan lalu sumbangan awam dikutip melalui suatu pergerakan sukarelawan, yang dikenali sebagai Biliary Atresia.

Info lanjut boleh hubungi Nuradila Halim di nombor 0175850926, manakala sumbangan boleh disalurkan melalui CIMB 7613092415 atas nama ibu kepada kanak-kanak berkenaan.

Sinar Harian 19 April 2016

0 comments:

Post a Comment