April 21, 2016

Maut tak nampak kereta masuk

KEADAAN kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan.

Kangar: Kegagalan melihat sebuah kereta memasuki simpang menyebabkan seorang pekerja kedai besi buruk maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan kenderaan berkenaan dalam kejadian di Taman Semarak, Kuala Perlis, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, Mohamed Faizal Hussein, 16, dari Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Perlis untuk bertemu dengan rakannya.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa menunggang motosikal keluar dari taman perumahan itu sebelum tiba-tiba muncul sebuah Perodua Kenari dipandu pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurutnya, mangsa gagal mengelak menyebabkan Honda EX5 dinaikinya bertembung dengan kereta berkenaan.

“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa terpelanting dan terjatuh berhampiran kereta berkenaan,” katanya.

Dia berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lelaki berusia 23 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa maut disebabkan kecederaan parah di kepala.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga mendatangkan kematian.

myMetro 21 April 2016



0 comments:

Post a Comment