April 19, 2016

Maut ditimpa pokok kelapa

BACHOK - Seorang suri rumah meninggal dunia selepas ditimpa pokok kelapa berdekatan rumahnya, selepas pokok itu tumbang dihempap pokok getah yang ditebang jiran, tengah hari Jumaat lalu.

Rohayu Isa, 37, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian ketika mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan di bahagian badan dan patah tangan.

Suami mangsa, Mohd Nasrul Mohd Yaid, 45, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika dia sedang membantu jirannya menebang pokok getah yang terletak 100 meter dari lokasi isterinya berada.

Katanya, ketika itu isterinya berada di buaian bersama beberapa anak jiran mereka yang turut melihat kerja-kerja menebang pokok dilakukan.

“Saya tak sangka pokok itu akan kena dia sebab jaraknya agak jauh dari tempat kami menebang pokok. Saya ketika itu sedang bantu jiran tarik pokok getah yang ditebang sebelum pokok itu menghempap pokok kelapa yang kemudiannya menimpa isteri saya.

“Masa itu isteri saya sedang baring dalam buai sambil balas mesej dengan adiknya. Anak jiran kami yang berada di situ sempat larikan diri tapi isteri saya yang cuba bangun dari buaian terjatuh sebelum ditimpa pokok,” katanya semalam.

Katanya, dia masih terbayang keinginan Allahyarham isterinya untuk makan ‘mumbe nyior’ yang tidak sempat ditunaikan.

"Sehari sebelum itu dia ada cakap nak makan 'mumbe nyior'. Sepatutnya saya kait kelapa pagi kejadian, tapi disebabkan kelapa itu agak tinggi dan galah tak ada jadi saya tangguhkan dulu. Tak sangka pula akan jadi macam ini, namun saya reda dengan ketentuan ini," katanya.

Menurutnya, jenazah Allahyarham Rohayu disemadikan di tanah perkuburan Permatang Pasir yang terletak berdekatan kediamannya.

Beliau turut berterima kasih atas kunjungan Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir yang hadir menziarahinya.

Sinar Harian 11 April 2016

0 comments:

Post a Comment