April 21, 2016

Luluh hati lihat anak terlantar derita kanser tulang

Sheikh Ahmad Dusuki (kiri) menyerahkan cek bantuan kepada Muhammad Zafran ketika mengunjungi kanak-kanak itu, semalam.

SERI KEMBANGAN - Hati ibu mana tidak sedih apabila anak yang dilahirkan normal, tiba-tiba disahkan menghidap kanser tulang tahap empat.

Lebih memilukan, Muhammad Zafran Arman, 7, yang dahulunya aktif dan dikategorikan murid bijak kini hanya terlantar selepas disahkan doktor menghidap ‘ewing sarcoma’.

Ibunya, Zaihasra Sahaari, 32, berkata, penyakit ditanggung Muhammad Zafran, mula diketahui April tahun lalu, selepas dia mengadu sakit badan dan memberitahu ada benjolan keras pada paha kaki kanannya.

"Saya bawa dia ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Serdang. Luluh hati saya bila doktor cakap dia perlu menjalani kimoterapi.

“Doktor beritahu, virus dah merebak ke paru-paru dan otak anak saya, di kaki pula dah sampai tulang  punggung,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan rawatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan, tidak mampu lagi ditanggung selepas dia berhenti kerja untuk menjaga Muhammad Zafran.

Manakala, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai penyelia kilang sebanyak RM2,500 sebulan juga tidak cukup kerana mereka menanggung ibu dan dua lagi anak.

“Doktor kata, pembedahan perlu dijalankan untuk buang tulang kaki kanan dan dicantumkan dengan tulang kaki kiri, rawatan itu akan diputuskan selepas kimoterapi,” katanya.

Zaihasra berkata, Muhammad Zafran kini perlu dipapah atau menggunakan kerusi roda untuk bergerak berikutan bengkak pada paha membesar terlalu cepat.

Bapanya, Arman Mat Isa, 36, berterima kasih kepada pihak yang prihatin memberi semangat dan sokongan moral kepada keluarga mereka.

“Anak kami banyak memendam kesakitan ditanggung,” katanya selepas menerima kunjungan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) pada Program Ziarah Kasih ke rumahnya di Taman Taming Jaya di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, Muhammad Zafran dijadikan anak angkat pertubuhan itu sehingga dia sembuh sepenuhnya.

"POKB akan beri tumpuan dan bantuan kebajikan, pendidikan serta rawatan kepadanya.

“Hari ini (semalam) POKB sampaikan sumbangan wang tunai RM500 untuk pembayaran kos memasang peralatan perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya.

Menurutnya, POKB mendapat kerjasama Universiti Putra Malaysia menghantar sukarelawan ‘home tutor’ ke rumah kanak-kanak itu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun RHB Bank 11218900045781 atas nama Arman Mat Isa.

Sementara itu, jurucakap Lembaza Zakat Selangor (LZS) yang dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan bantuan daripada keluarga Muhammad Zafran.

Bagaimanapun katanya, perkara itu sudah dipanjangkan kepada pegawai agihan kawasan yang akan mengunjungi kanak-kanak itu hari ini.

NUR FARHANA ABDUL MANAN
Sinar Harian
20 April 2016

0 comments:

Post a Comment