April 19, 2016

Luluh hati dapat tahu isteri maut

Kenangan Azizol bersama arwah isterinya.

ENDAU – Luluh hati seorang nelayan apabila menerima khabar isterinya maut ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Endau selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Haji Ariffin, di sini pada jam 7.50 malam, kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, Nor Nazuha Yasin, 35, yang dalam perjalanan menghantar anak perempuannya, Nurul Farisha, 10, menghadiri kelas tuisyen bertembung dengan sebuah kereta Mazda berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin.

Bagaimanapun Nurul Farisha dan adiknya, Nurul Damiya yang berusia enam bulan cedera ringan serta dirujuk ke Klinik Kesihatan Endau.

Sementara itu, pemandu kereta Mazda, Loh Seng Yong, 22, patah paha kanan serta kaki kirinya dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan.

Suami mangsa, Azizol Musa, 35, berkata, dia yang berada di laut ketika kejadian menerima panggilan telefon dan dimaklumkan  mengenai insiden menimpa isterinya itu.

“Dah seminggu saya berada di laut...saya memang tak sabar nak balik rumah, nak jumpa isteri dan anak-anak. Tak sangka dapat tahu isteri kemalangan.

“Saya sangka ia hanya kemalangan biasa, luluh hati saya bila dapat tahu isteri meninggal dunia...hanya ALLAH yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu, terpaksa saya bertolak balik serta-merta,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Azizol tiba di rumahnya di Taman Rumah Murah, di sini jam 11.30 malam sebelum bergegas ke Hospital Mersing untuk menuntut jenazah isterinya yang dibawa ke hospital itu untuk bedah siasat.

Jenazah Nor Nazuha selamat dikebumikan di kampung halamannya di Besut, Terengganu semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Hamka Muhammad mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 7 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment