April 19, 2016

Lelaki maut kereta terbabas langgar penghadang

TROLAK - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 96 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, mangsa, Chan Eng Lee, 47, berasal dari Taman Sri Iskandar, Hutan Melintang meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mangsa memandu kereta Proton Iswara dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur dipercayai gagal mengawal kenderaannya.

“Mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar pengadang jalan di sebelah kiri.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Ahmad berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

“Mayat mangsa diserahkan kepada keluarga selepas selesai bedah siasat untuk urusan pengebumian.

“Kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim, Jasfian Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.37 malam kelmarin mengenai kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian mendapati mangsa tersepit di bahagian tempat pemandu.

"Anggota bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserah kepada ambulans,” katanya.

Sinar Harian 26 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment