April 21, 2016

Lelaki cari waris ayah kandung

Gambar terakhir Allahyarham Muhammad Yusuf (duduk, kiri) bersama ahli keluarganya yang baru di Beranang.

SHAH ALAM – Seorang lelaki mencari waris Allahyarham bapanya, Muhammad Yusuf yang dipercayai berada di Beranang.

Khairunnizam Mohammad, 40, berkata, dia mencari waris ayahnya bagi memudahkannya dan keluarga menziarahi kubur ayahnya, sekali gus mengenali adik-beradiknya yang lain.

“Saya terpisah dengan ayah sejak kecil lagi selepas dia bercerai dengan ibu saya dahulu.

“Kali terakhir saya jumpa dengan dia masa umur saya 21 tahun, kemudian langsung dah tak jumpa,” katanya yang berasal dari Temerloh, Pahang.

Menurutnya, Allahyarham dipercayai menetap di Beranang bersama keluarga barunya sebelum dia menghembuskan nafasnya, Mac lalu.

"Saya tahu ayah dah meninggal dunia melalui sistem online Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Sebelum ini, saya akan periksa sebulan sekali menerusi sistem online JPN sebab itu saja cara untuk tahu sama ada dia masih hidup ataupun tak.

“Tak ada siapa akan beritahu tentang berita kematian ayah sebab keluarga mereka yang baru pun tak kenal dengan saya,” katanya.

Khairunnizam berkata, tujuan dia mencari waris juga bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan hubungan darah dalam kalangan anak-anaknya pada masa hadapan.

“Saya bimbang sebab anak-anak saya dah besar dan kemungkinan pada masa akan datang mereka tak kenal saudara.

“Lebih menakutkan apabila ada di antara mereka yang jatuh cinta dengan bapa atau ibu saudara sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, dia meminta mana-mana pihak yang mengenali waris Allahyarham ayahnya supaya segera menghubunginya di talian 013-9565666 atau di alamat Kampung Bangau Parit, Temerloh, Pahang.

Wartawan Sinar Harian
21 April 2016

0 comments:

Post a Comment