April 19, 2016

Khabar duka sejurus mimpi ngeri

ANGGOTA bomba memeriksa kereta dinaiki mangsa yang terbakar selepas terbabas ke bahu jalan, semalam.

Seremban: Semalam, Nurul Izzaty Ibrahim, 29, tidur dalam keadaan terganggu. Apa tidaknya, dia bermimpi kakaknya meninggal dunia menyebabkannya terjaga.

Selang beberapa minit kemudian, telefon bimbitnya berdering dan tertera nama ibunya, Murni Kasian, 51, menyebabkan jantung Nurul Izzaty berdebar-debar.

Nurul Izzaty kehairanan kerana ibunya menghubunginya pada awal pagi sedangkan selama ini tidak pernah berbuat demikian.

Dalam keadaan gementar, dia mengangkat telefon sebelum dimaklumkan kakaknya, Nurul Aida, 31, dan sepupunya, Syazila Zailani, 31, terbabit dalam kemalangan dekat Rembau.

Nurul Izzaty tiba-tiba teringatkan mimpi dialami beberapa minit sebelum itu sebelum mengajak suami, ibu dan bapa saudara bergegas ke hospital.

Ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Nurul Izzaty berdoa semoga tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas Nurul Aida serta Syazila.

Sangkaannya meleset dan sebaik tiba HTJ, dia ternampak sekujur tubuh dalam keadaan rentung diletak di katil di bilik mayat.

Nurul Izzaty membuat andaian bahawa mayat rentung itu bukan kakaknya, tetapi ternyata meleset. Dia akhirnya akur dan ketika itulah Nurul Izzaty teringat mimpi dialami pada awal pagi kejadian seolah-olah petunjuk dia kehilangan orang tersayang.

Dalam mimpi sama, Nurul Izzaty turut melihat seorang lagi adik perempuannya meninggal dunia.

Dalam kejadian di Kilometer 246.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Senawang jam 5 pagi semalam, Perodua Kenari dipandu Nurul Aida hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu terbalik.

Perodua Kenari itu kemudiannya terbakar menyebabkan Nurul Aida terperangkap. Nurul Aida ditemui rentung manakala Syazila diselamatkan orang awam.

Ketika berkongsi kisah sedih itu, Nurul Izzaty berkata, kakak dan sepupunya bertolak dari rumah keluarga di Johor Bahru, Johor, jam 12 tengah malam kelmarin.

“Segala-galanya berjalan lancar sehinggalah saya menerima panggilan daripada ibu yang memaklumkan tentang kemalangan itu. Dalam perbualan telefon, ibu cuba menyembunyikan kejadian sebenar kerana bimbang saya pengsan.

“Ibu hanya beritahu kakak dan Syazila kemalangan dan mereka dibawa ke hospital (HTJ),” katanya ketika ditemui di HTJ Seremban.

Ketika menunggu di rumah mayat, Nurul Izzaty yang memangku dua anak perempuannya berusia sembilan bulan dan dua tahun tidak berhenti menangis setiap kali melihat wajah kakaknya dalam telefon bimbit.

Air matanya sentiasa bercucuran sebelum ditenangkan ibu saudaranya sementara menunggu ibu bapanya tiba untuk proses pengecaman serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ibu Syazila, Baeyah Kasian, 54, berkata, anaknya masih dirawat di ICU namun sudah mampu bercakap walaupun lemah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kes disiasat
di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

myMetro 15 April 2016


Wanita rentung kereta terbabas, terbakar

Anggota-anggota bomba dan penyelamat serta polis memeriksa sebuah kereta Produa Kenari selepas ianya terbakar menyebabkan seorang wanita didapati rentung dalam kemalangan di KM246.3 Projek Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran plaza tol Pedas-Linggi kira-kira pukul 5 pagi hari ini. - Foto Bernama

SEREMBAN - Seorang wanita rentung manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Rembau, dekat sini, pagi tadi.  

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Nurul Aida Ibrahim, 30, yang memandu kereta jenis Perodua Kenari, maut manakala rakannya, Syazila Zailani, 30, cedera parah selepas kenderaan itu hilang kawalan.

"Berdasarkan siasatan, penumpang yang cedera memaklumkan mereka berdua dari Johor Baharu menuju ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di kawasan itu, kereta tersebut tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

"Kereta itu kemudiannya terbalik dan terbakar. Mangsa sempat selamatkan diri manakala rakannya tidak dapat keluar dipercayai tersepit. Mangsa yang maut hanya berjaya dikeluarkan anggota bomba setelah api dipadamkan, namun disahkan maut di tempat kejadian," katanya.

Muhamad Zaki berkata Syazila yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar manakala mangsa yang maut dibawa ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

14 April 2016



0 comments:

Post a Comment