April 19, 2016

Kereta berpusing, melambung

Keadaan kereta Proton Wira yang terbabit dalam kemalangan.

CHENGKAU – Kebimbangan ibu bapa susulan persimpangan masuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Chengkau, Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK), di sini, yang agak berbahaya terutama pada waktu puncak akhirnya menjadi nyata apabila berlaku kemalangan di persimpangan tersebut, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, murid SK Chengkau, Nur Aisyah Md Ali, 11, dikejarkan ke Hospital Tampin oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akibat mengalami kecederaan pada badan dan pinggang selepas kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki bersama ibunya terlibat nahas.

Menurut saksi, Mohd Jamil Sidek, 54, ketika kejadian dia memberhentikan kenderaan dipandunya di bahu jalan bagi memberi laluan kepada sebuah kereta jenis Perodua Kancil dari arah Tampin yang sudah memberi isyarat membelok ke kanan.

“Tiba-tiba kereta jenis Proton Wira dari arah sama merempuh kereta Perodua Kancil yang dinaiki mangsa bersama ibunya sehingga menyebabkan kereta berkenaan melambung ke sebelah kanan serta berpusing.

“Saya yang cemas segera keluar dari kereta bagi membantu mangsa kemalangan. Bagaimanapun, ibu mangsa dikenali sebagai Jamaliah Daud yang berusia 55 tahun tidak mengalami kecederaan serius. Mangsa yang tersepit dikeluarkan dari kenderaan berkenaan dengan bantuan anggota JPAM,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Bagi ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Chengkau, Samiah Omar, 43, usul bagi memperbesarkan persimpangan masuk sekolah berkenaan telah diketengahkan pada mesyuarat PIBG, namun sehingga kini masih belum mendapat keputusan sama ada jalan utama berkenaan akan diperbesarkan.

Menurutnya, masalah jalan agak sempit ini sudah dalam perhatian PIBG dan usul berkenaan diketengahkan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan seperti yang terjadi pagi semalam.

“Masalah semakin meruncing terutama pada waktu puncak iaitu semasa menghantar anak pada waktu pagi serta menjemput mereka pulang pada waktu tengah hari dan petang.

“Kita harap masalah persimpangan ini akan dapat diatasi dan pihak bertanggungjawab dapat meninjau lokasi ini untuk keselamatan warga sekolah,” katanya.

Sinar Harian 6 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment