April 19, 2016

Kasih tiada galang ganti


Oleh Nur Syazwana Mansor

Yan: Kasih sayang tiada galang ganti. Begitu bukti pengorbanan seorang bapa, Md Yusof Yahya, 51, apabila sanggup hilang sumber rezeki yang menyara keluarga selama ini demi mahu menjaga anak bongsu daripada lima beradik, Anis Hasmira Husna, 9, yang terlantar akibat barah otak tahap empat sejak setahun lalu.

Meskipun kehidupan keluarga berkenaan kini terpaksa bergantung kepada pendapatan isterinya, Nor Aiza Abdul Razak, 41, yang bekerja sebagai operator kilang, namun bekas pemandu van terbabit gembira kerana dapat berbakti kepada anak perempuannya itu.

Namun, kehidupan keluarga berkenaan yang ditimpa ujian kembali berseri dengan keprihatinan rakyat Malaysia dalam membantu meringankan beban, sekali gus memberikan sinar baru kepada mereka.

Ikuti luahan Md Yusof ketika ditemu bual wartawan, Nur Syazwana Mansor di rumahnya di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, semalam.

“Ketika sedang tidur nyenyak kira-kira setahun lalu, saya dan isteri dikejutkan dengan tangisan Husna apabila mengadu tidak sihat dan muntah-muntah sebelum diserang sawan lalu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Yan untuk rawatan.

Namun, keadaan dirinya tidak berubah lalu dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk pemeriksaan lanjut dan akhirnya kami dimaklumkan terdapat ketumbuhan pada kepala Husna dan disahkan menghidap kanser otak, sekali gus perlu menjalani pembedahan di tempurung kepalanya.

Kami bagaikan ‘dipanah petir’ sejurus menerima berita itu kerana sebelum ini dia kelihatan sihat dan ceria selain tiada petanda menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatannya.

Husna menjalani pembedahan kedua di Hospital Pulau Pinang pada Oktober lalu sebelum disahkan menghidap kanser otak tahap empat dan hati ini terasa bagaikan dihempas.

Hati ibu bapa mana tidak sedih melihat anak yang sedang membesar secara tiba-tiba diserang sakit dan tidak lagi menjalani kehidupan normal seperti anak lain, namun saya dan isteri reda dengan ketentuan takdir.

Kami juga mengambil keputusan untuk menghentikan rawatan kemoterapi kerana tidak sanggup melihatnya bertarung dalam kesakitan dan kini Husna hanya terbaring di atas tilam tanpa boleh berkata-kata.

Malah, dia hanya akan mengangkat keningnya sebagai tanda ‘Ya’ sekiranya kami bertanya sama ada dia mahukan sesuatu.

Disebabkan sering berulang-alik ke hospital dan sering meminta cuti, saya berhenti kerja sejak setahun lalu bagi memberi tumpuan sepenuhnya menjaga anak bongsu saya itu.

Bagi saya, lebih senang jika saya yang berada di rumah kerana boleh menggunakan kudrat untuk mengangkat Husna bagi memandikannya berbanding isteri selain mudah membawa dia ke hospital sekiranya diserang sakit.

Mereka yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB 02021134209526 milik Md Yusof Yahya

myMetro 16 April 2016

0 comments:

Post a Comment