April 21, 2016

Isteri sakit, bekas pekerja kilang rayu bantuan

Maryati yang menghidap ketumbuhan otak hanya mampu terlantar di rumahnya di Kampung Paya Kerecut.

SUNGAI PETANI – Sebuah keluarga di Kampung Paya Kerecut, Tikam Batu berdepan masalah kewangan apabila ketua keluarga terpaksa berhenti kerja setelah isterinya terlantar akibat ketumbuhan otak.

Yaakob Md Isa, 51, berkata, disebabkan keadaan yang semakin serius, dia mengambil keputusan berhenti kerja di kilang kerana berhasrat ingin memberikan sepenuh tumpuan terhadap penjagaan isteri, Maryati Mohamad, 46, yang menghidap penyakit itu sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, penyakit tersebut mula dikesan setelah isterinya jatuh dalam bilik air di rumah beberapa tahun dahulu.

“Saya dah ikhtiar segala cara termasuk perubatan moden dan tradisional bagi mengubati penyakitnya, tapi keadaan masih sama. Isteri tak mampu bergerak dan bercakap, tangan kiri sentiasa menggeletar,” katanya.

Menurutnya, dia bersama anaknya, Nurul Syakirah, 20, sentiasa bergilir-gilir menjaga Maryati dan melakukan tugas seharian, manakala seorang lagi anak, Mohd Zulhilmi, 17, masih belajar.

“Sebelum ini, Maryati pernah dapatkan rawatan di hospital tapi bila diberitahu penyakitnya di tahap empat, saya nekad berhenti kerja untuk jaga dia sepenuh masa,” katanya.

Menurutnya, segala perbelanjaan hanya mengharapkan bantuan anak-anak yang sudah bekerja untuk menampung keluarga dan persekolahan adik mereka.

Bagi mengurangkan bebanan dan menggembirakan mereka, Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad dan Ketua Wanita Umno Bahagian Sungai Petani, Wan Mohalina Wan Mohamad bersama Skuad Sayang melakukan kunjungan dan menyalurkan sedikit sumbangan.

Orang ramai yang ingin membantu bolehlah berbuat demikian melalui akuan CIMB bernombor 0704-107418-0505.

Wartawan Sinar Harian
20 April 2016

0 comments:

Post a Comment