April 19, 2016

Ibu tunggal jual aiskrim sara tujuh anak

Nor Yati (kiri) menjadikan jualan aiskrim sebagai sumber utama pendapatan keluarga selepas kematian suaminya.

PASIR GUDANG - Memilukan. Itu gambaran kesukaran seorang ibu tunggal yang berhempas-pulas mencari rezeki bagi menyara tujuh anaknya selepas kematian suami akibat penyakit barah usus.

Lebih memeritkan, Nor Yati Hassan, 40, turut menghidap asma kronik yang menyebabkan pergerakannya terbatas kerana tidak mampu melakukan kerja berat.

Bagi meneruskan kehidupan, Nor Yati hanya bergantung kepada hasil jualan aiskrim, dengan pendapatan bersih RM50 seminggu.

“Memang saya ada terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 tetapi dengan wang itulah saya gunakan untuk bayar tambang van sekolah seorang anak saya dan bayar bil utiliti.

“Buat masa ini, saya hanya bergantung kepada duit jualan aiskrim ini sahaja. Nasib baiklah anak-anak ada membantu kerana saya tak larat nak bekerja sendirian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Blok 48, Taman Cendana, di sini, semalam.

Menurutnya, tiga daripada tujuh anaknya terpaksa diberhentikan sekolah kerana membantunya menjaga suaminya ketika sedang tenat melawan penyakit.

“Tiga anak saya tak bersekolah selama beberapa bulan ketika menjaga arwah suami dan mereka mengambil keputusan tidak meneruskan pelajaran berikutan masalah kesempitan wang yang saya hadapi.

“Selain itu, anak sulung saya juga diberhentikan kerja kerana kerap ambil cuti semasa arwah sakit dan masih belum bekerja kerana menjaga keperluan adik-adiknya,” katanya.

Masalah kian menghimpit dirinya apabila dibelenggu tunggakan sewa rumah yang tidak dijelaskan  sejak suaminya terlantar sakit dari tahun 2013, berjumlah hampir RM5,000.

Sementara itu, anak sulungnya, Nor Jasmel Jumali, 18, berkata, disebabkan ibunya menghidap pelbagai penyakit, dia mengambil keputusan mencari kerja di kawasan berhampiran bagi meringankan beban keluarga.

“Sebelum ini, saya bekerja di Melaka sebagai pelayan restoran tetapi diberhentikan kerja kerana  kerap mengambil cuti untuk jaga adik dan orang tua.

“Buat masa ini, pendapatan hanya ditanggung oleh ibu, tetapi dia tak boleh bekerja terlalu kuat kerana selain asma kronik, ibu juga ada kencing manis dan keadaannya amat merisaukan saya,” katanya.

Menurutnya lagi, usia adik-beradik yang masih kecil menyebabkan hatinya tidak tergamak untuk meninggalkan mereka dengan mengikut rakan bekerja di luar negeri dan lokasi jauh dari rumah.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Nor Yati Hassan 01087020467269 atau menghubungi Nor Jasmel menerusi talian 017-7756287.

Sinar Harian 6 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment