April 23, 2016

Ibu rayu anak pulang

Mohd Dahlan dan isterinya, Nor Muhaira menunjukkan foto Nor Syafiqah yang hilang dari rumah sejak 18 April lalu. Gambar kecil: Nor Syafiqah.

MELAKA - Pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah didapati hilang dari rumah sejak 18 April lalu dan sehingga kini gagal dikesan ahli keluarganya.

Nor Syafiqah Mohd Dahlan, 15, disedari hilang kira-kira jam 3 pagi pada tarikh tersebut oleh kedua ibu bapanya setelah mendapati gadis berkenaan tiada di dalam bilik tidurnya, sementara pintu dapur dalam keadaan terbuka.

Menurut bapanya, Mohd Dahlan Zakaria, 39, dia berusaha mencari Nor Syafiqah pada siangnya termasuk ke lokasi yang sering dikunjungi anaknya itu serta menghubungi beberapa rakan rapat, namun tidak berhasil.

“Akhirnya pada 20 April lalu, saya terpaksa membuat laporan polis mengenai kehilangan anak saya yang merupakan anak sulung dari lima beradik itu di Balai Polis Masjid Tanah kerana bimbangkan keselamatannya.

“Paling menggusarkan apabila dia keluar rumah dengan membawa bersama kad pengenalan ibunya yang mungkin kerana tergesa-gesa turut membawanya secara tidak sengaja,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah bapa saudaranya di Kampung Bukit Pulau, Bukit Baru, di sini semalam.

Sementara itu, ibu gadis berkenaan, Nor Muhaira Rashid, 35, berkata, sebelum anaknya didapati hilang, tiada sebarang konflik antara mereka sekeluarga kecuali ada memberi teguran tentang kemerosotan pembelajarannya.

“Kami hanya tegur tentang kemerosotan pelajarannya sama seperti ibu bapa lain tetapi mungkin dia tidak boleh menerimanya lalu melarikan diri dari rumah,” katanya.

Nor Muhaira juga merayu supaya anaknya itu dapat pulang semula ke pangkuan keluarga dan bersedia memaafkan kesalahan anaknya sekiranya pulang nanti.

Kepada mereka yang mengenali atau menemui Nor Syafiqah diharap dapat menghubungi bapanya, Mohd Dahlan di talian 017-6397791 atau menghubungi balai polis berdekatan.

Wartawan Sinar Harian
23 April 2016

0 comments:

Post a Comment