April 21, 2016

Ganti rugi kerana lipas dalam makanan hospital

Shah Alam: Seorang pegawai khidmat pelanggan Lembaga Tabung Haji (TH) melalui pengalaman menjijikkan apabila termakan bahagian kepala dan kaki lipas yang ditemui dalam makanannya ketika dirawat di sebuah hospital swasta di sini, Mei tahun lalu.

Kesan insiden itu, Wan Hailmey Mahrawi, 38, mengalami loya, muntah-muntah, sakit perut dan demam panas.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan Selangor Specialist Hospital Sdn Bhd, pemilik KPJ Selangor Specialist Hospital (KPJ Selangor) membayar ganti rugi RM67,000 selepas membenarkan tuntutan saman difailkan Wan Hailmey terhadap syarikat itu pada Ogos tahun lalu.

Dalam keputusan ringkasnya, Hakim G Ramesh berkata, Wan Hailmey selaku plaintif berjaya membuktikan kesnya dan justeru tuntutan beliau dibenarkan dengan kos.

Ramesh memerintahkan Wan Hailmey dibayar pampasan sebanyak RM7,000 bagi ganti rugi am untuk sakit perut dengan cirit-birit selama lima hari dan RM60,000 bagi ganti rugi teladan. Keputusan Ramesh dibacakan Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir kerana Hakim Ramesh yang mendengar kes itu telah bertukar ke mahkamah Petaling Jaya.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif berkata pada 18 Mei tahun lalu, beliau dimasukkan ke KPJ Selangor selama lima hari untuk mendapatkan rawatan kerana masalah cakera teranjak di bahagian tulang belakang yang dialami sejak 2006.

Wan Haimey mendakwa pada 20 Mei, beliau disediakan makanan tengah hari iaitu nasi putih, ikan masak asam pedas serta sayur dan ketika makan, plaintif mendapati sayur itu mengandungi seekor lipas dan termakan kepala serta kaki lipas berkenaan.


BERNAMA 21 April 2016

0 comments:

Post a Comment